Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi bercakap pada sidang media mengenai kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, hari ini.

PELABUHAN KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menggagalkan cubaan menyeludup perisa shisha, tembakau kunyah, mercun dan bunga api berjumlah RM1.54 juta dalam beberapa operasi penguatkuasaan di sini dan Puncak Alam, Kuala Selangor antara 12 dan 13 Januari lalu.

Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, rampasan perisa shisha dilakukan pihaknya hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena bersaiz 40 kaki di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Barat, di sini, pada 13 Januari lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas kontena tersebut, JKDM menemui perisa shisha seberat 2,880 kilogram (kg) bernilai RM144,000, manakala nilai duti dan cukai sebanyak RM290,016 dipercayai diimport tanpa permit yang sah.

“Pengimport perisa shisha dikesan membuat pengikraran sebagai minuman tenaga melalui manifes,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, di sini, hari ini.

Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi menunjukkan rampasan tembakau kunyah pada sidang media mengenai kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor

Selain itu, kata Mohamad Azhar, pihaknya menyita sebuah kontena bersaiz 20 kaki yang mengandungi tembakau kunyah seberat 3,900 kg bernilai RM566,816 termasuk duti dan cukai di Zon Bebas Pelabuhan Utara, di sini, pada 13 Januari lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas kontena tersebut, pegawai penguat kuasa menemukan 3,900 kg tembakau kunyah yang dipercayai diimport tanpa permit.

“Nilai dagangan tersebut dianggarkan berjumlah RM195,000, manakala duti dan cukai terlibat dianggarkan sebanyak RM371,816,” katanya.

Jelasnya, tembakau kunyah itu dikesan berdasarkan pengikraran yang mencurigakan sebagai Sagar Shakti melalui manifes dan gagal mengemukakan permit import.

Mohamad Azhar berkata, pihaknya juga menyita sebuah kontena bersaiz 40 kaki mengandungi mercun seberat 21,936 kg berjumlah RM266,319 di sebuah gudang sekitar kawasan Puncak Alam, Kuala Selangor menerusi Ops Petasan pada 12 Januari lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas kontena tersebut, pasukan telah menemukan sejumlah komoditi mercun yang dipercayai diimport tanpa permit.

“Nilai dagangan tersebut dianggarkan berjumlah RM161,406, manakala duti dan cukai terlibat dianggarkan sebanyak RM104,913.

“Rampasan dibuat selepas pengimport membuat pengikraran Firework (DG Class 1.4G) melalui Borang Kastam 1, bagaimanapun permit import sudah tamat tempoh,” katanya.

Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi menunjukkan rampasan mercun dan bunga api kunyah pada sidang media mengenai kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, hari ini.

Sementara itu, Mohamad Azhar berkata, pihaknya turut menyita sebuah kontena eksport bersaiz 40 kaki mengandungi mercun dan bunga api bernilai RM279,588 menerusi Ops Petasan di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Barat, di sini, pada 26 Januari lalu.

“Serbuan itu dilakukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Selangor dengan kerjasama Unit Narkotik, Ibu Pejabat JKDM.

“Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan pemeriksa telah menemukan sejumlah tisu serta 13,166.50 kg mercun,” katanya.

Menurut Mohamad Azahar, barangan tersebut didapati tidak selaras dengan pengikraran yang dibuat dalam Borang Kastam No. 2 yang menyatakan ia sebagai “Party Decorative Item“.

“Nilai keseluruhan dagangan dianggarkan berjumlah RM297,588 dan kontena tersebut dipercayai untuk dieksport ke sebuah negara di Asia,” katanya.

Tambahnya, kesalahan menyeludup perisa shisha, tembakau kunyah dan mercun import itu disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan mengimport barang larangan.

“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali ganda nilai barangan itu atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi penyeludupan mercun dan bunga api eksport pula, kes disiasat di bawah Seksyen 133 (1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan membuat pengikraran tidak benar.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast