Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bekas pengarah Sarawak Consolidated Industries Berhad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan pernyataan palsu berhubung hal ehwal syarikat berkenaan, diberikan kepada Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia), lima tahun lalu.

Rosland Othman, 52, yang juga suami pelakon Miera Liyana, didakwa sebagai pengarah syarikat berkenaan pada masa kejadian, telah menyebabkan pernyataan palsu diberikan kepada Bursa Malaysia, di mana pernyataan tersebut terkandung dalam `Interim Financial Report on Consolidated Results for the Quarter Ended 30 June 2021′.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bursa Malaysia, Exchange Square, Bukit Kewangan, di sini pada 30 September 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Perenggan 369(b)(B) dibaca bersama subseksyen 367(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 [Akta 671] dan boleh dihukum di bawah seksyen 369 akta sama.

Jika sabit kesalahan, perenggan itu membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda yang boleh sampai RM3 juta.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti (SC), Hashley Tajudin tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana kesalahan tersebut merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.

“Bagaimanapun, jika mahkamah ingin menggunakan budi bicaranya, pendakwaan menawarkan jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri ke ibu pejabat Suruhanjaya Sekuriti sebulan sekali sehingga kes selesai,” katanya.

Peguam S. Shastidaran yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung tujuh anak hasil daripada dua perkahwinan serta dua warga emas iaitu ibu kandung dan ibu mentuanya.

“Anak guam yang telah diisytihar sebagai muflis pada 2023 juga menghidap penyakit kencing manis, glaucoma serta masalah saraf. Ini juga merupakan kesalahan kali pertamanya.

“Beliau juga telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan. Mohon mahkamah membenarkan anak guam diikat jamin dengan jumlah yang rendah dan munasabah,” katanya.

Bagaimanapun, Hashley berkata jumlah yang terlalu rendah akan menyebabkan tertuduh berkemungkinan untuk melarikan diri.

“Notis untuk hadir bagi rakaman percakapan kali pertama telah dikeluarkan pada Ogos 2024 namun ditangguh beberapa kali atas pelbagai alasan. Pihak siasatan akhirnya berjaya merakam percakapan pada Oktober 2024.

“Suruhanjaya Sekuriti juga mempunyai pengetahuan bahawa tertuduh telah muflis namun pada pengalaman kami, individu muflis juga masih dapat melakukan perjalanan ke luar negara. Mohon mahkamah pertimbangkan isu-isu ini,” kata Hashley.

Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan selain menetapkan 7 Mei ini untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast