MELAKA – Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan geran berjumlah RM30,000 bagi penganjuran Program Pesta De San Pedro 2024.
Tertuduh, Sara Frederica Santa Maria, 56, dan suaminya, Sikim Gompongan, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama-sama menyalahgunakan harta iaitu wang peruntukan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan berjumlah RM30,000 daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC).
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 26 Jun 2024 hingga 25 September 2024 di CIMB Bank Berhad Cawangan Taman Melaka Raya, dalam daerah Melaka Tengah.
Berikutan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun serta dengan sebatan, dan juga boleh dikenakan denda.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Syakila Yaacob menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.
Peguam, Cassian Anthony, bagaimanapun merayu agar mahkamah mengenakan jaminan rendah dengan alasan kedua-dua anak guamnya merupakan pasangan suami isteri yang mempunyai empat orang anak dan bergantung kepada sumber pendapatan yang terhad selain turut berdepan masalah kesihatan.
Selain itu, tertuduh juga terlibat mengajar tarian sebagai aktiviti kebudayaan kepada komuniti setempat di Perkampungan Portugis.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin Rm7,000 dengan seorang penjamin selain dikenakan syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.
Kes akan disebut semula 16 April ini. – MalaysiaGazette
















