KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan umat Islam supaya sentiasa memelihara batas halal dan haram dalam setiap urusan kehidupan demi memastikan keberkatan serta kesejahteraan masyarakat.
Titah baginda, sebagai umat Islam yang menjunjung tinggi kesucian ajaran agama, menjadi kewajipan kepada setiap individu untuk sentiasa memastikan segala urusan kehidupan dipandu oleh perkara yang halal serta menjauhi perkara yang meragukan atau syubhah.
Baginda bertitah, perkara yang halal bukan sahaja membawa keberkatan, malah memberikan ketenangan jiwa, manakala menjauhi perkara syubhah menjadi benteng yang menjaga kesucian iman serta memelihara maruah agama.
“Dalam dunia yang semakin pesat berubah, persoalan halal dan haram tidak lagi terbatas kepada isu pemakanan semata-mata, sebaliknya telah berkembang menjadi satu ekosistem kehidupan yang merangkumi pelbagai sektor termasuk perniagaan, kewangan, perubatan, logistik serta gaya hidup manusia secara keseluruhannya.
“Janganlah kita alpa bahawa halal itu pada hakikatnya adalah perintah agama, bukan sekadar jenama pasaran. Halal bukan hanya soal logo atau cap pada sesuatu produk. Halal itu adalah soal amanah, integriti dan keberkatan hidup.
“Jika sesuatu yang masuk ke dalam tubuh manusia itu bersumberkan perkara yang meragukan, maka ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan jasmani, bahkan boleh menggelapkan hati dan merosakkan jiwa,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan berangkat memasyhurkan Masjid Kampung Simpang Tebing Tinggi sebagai Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Kampung Simpang Tebing Tinggi, Temerloh semalam.
Sementara itu, dalam titah sama, baginda menyeru semua pihak termasuk para peniaga, pengilang, pengusaha restoran serta mana-mana pihak yang terlibat dalam rantaian industri halal supaya memelihara amanah tersebut dengan penuh tanggungjawab serta tidak mempermainkan sensitiviti umat Islam dalam perkara yang menyentuh soal halal dan haram.
Pada masa sama, baginda turut berharap pihak berkuasa berkaitan terus memperkukuh penguatkuasaan terhadap sebarang pelanggaran dalam sistem pensijilan halal serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memanipulasi sistem demi kepentingan diri.
“Sesungguhnya, menjaga halal dan haram bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau pihak berkuasa semata-mata, tetapi merupakan tanggungjawab bersama seluruh umat Islam.
“Jika umat Islam sendiri tidak mengambil berat soal halal dan haram dalam kehidupan mereka, maka sedikit demi sedikit kita akan kehilangan benteng yang selama ini menjadi asas kekuatan masyarakat Islam.
“Jika perkara halal dijaga, maka masyarakat akan hidup dalam keberkatan. Namun, jika perkara halal dipermainkan, maka kerosakan akan meresap sedikit demi sedikit dalam kehidupan kita. ‘Tegak rumah kerana sendi, runtuh sendi maka robohlah rumah. Begitulah juga masyarakat, jika sendi halal dan haram tidak lagi dipelihara, maka runtuhlah asas kehidupan yang diberkati’,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda turut menyeru para usahawan khususnya perusahaan kecil dan sederhana merebut peluang mendapatkan pensijilan halal bagi memperkukuh keyakinan pengguna serta memperluaskan pasaran perniagaan.
Titah baginda, inisiatif mempercepatkan proses kelulusan pensijilan halal yang kini dapat diselesaikan dalam tempoh sekitar 30 hari berbanding 90 hari sebelum ini merupakan langkah positif dalam memudahkan permohonan serta memperkasa industri halal di negeri ini.
Pada masa sama, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) juga dititahkan sentiasa bersedia memberikan bimbingan kepada para peniaga yang ingin mendapatkan pensijilan halal.
Baginda bertitah menegaskan bahawa pensijilan halal bukanlah satu beban, sebaliknya merupakan pelaburan jangka panjang yang menjamin kualiti, integriti serta membuka peluang pasaran lebih luas di peringkat nasional dan antarabangsa. – MalaysiaGazette
















