KUALA LUMPUR – Dua bot fiber dikesan dalam keadaan mencurigakan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor pada kedudukan kira-kira 0.8 batu nautika barat Sungai Tambak Jawa Kecil, Kapar semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kedua-dua tangkapan itu dilakukan ketika kapal Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin operasi di perairan Selangor sekitar pukul 11 pagi.
“Anggota operasi telah mengesan kedua-dua vesel terbabit dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan mendapati, ia dikendalikan dua tekong warga tempatan masing-masing berumur 47 dan 62 tahun.
“Pemeriksaan lanjut mendapati salah satu vesel membawa empat batang pokok yang menurut tekong untuk ditanam di kawasan perairan Sungai Janggut manakala sebuah lagi vesel tidak mempunyai nombor pendaftaran.
“Selain itu, mereka dikesan membawa tujuh warga asing berumur antara 22 hingga 45 tahun yang dipercayai bertindak sebagai tenaga kerja bagi aktiviti penanaman pokok tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semakan lanjut dokumentasi mendapati, enam daripada warga asing itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah manakala seorang lagi mempunyai dokumen yang lengkap.
Kesemua individu terbabit bersama kedua-dua vesel yang ditahan kemudiannya diiring ke Jeti PasukanPolis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut.
“Kes bagi vesel pertama disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menjalankan aktiviti selain menangkap ikan.
“Manakala vesel kedua disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO 1952) kerana tidak mempunyai dokumen serta nombor pendaftaran.
“Sementara itu, enam warga asing yang tidak memiliki dokumen sah pula disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















