KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti secara serius pelaksanaan semula dasar bekerja dari rumah (WFH) bagi sektor awam sebagai antara langkah proaktif mengurangkan beban perbelanjaan fiskal susulan konflik berlarutan di Asia Barat.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada langkah tiada penyesalan yang sedang dipertimbangkan untuk mengimbangi implikasi kenaikan subsidi petrol dan diesel yang kini mencecah tambahan RM2 bilion.
Beliau berkata, pendekatan itu bukan sahaja mampu membawa penjimatan kepada kerajaan daripada sudut kos operasi malah dapat membantu mengurangkan penggunaan tenaga tanpa menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan.
“Kita sedang melihat pendekatan lain seperti bekerja dari rumah (WFH) serta mengurangkan penggunaan elektrik atau menyelaraskan suhu pendingin hawa di pejabat-pejabat kerajaan.
“Ini adalah langkah yang kita sifatkan sebagai no regret iaitu usaha yang membawa penjimatan ketara kepada negara, namun dalam masa sama ia tidak mengurangkan keselesaan penjawat awam mahupun rakyat,” katanya dalam Sidang Media Pasca Mesyuarat Kabinet Khas hari ini.
Beliau berkata, penelitian mengenai penyelarasan WFH ini sedang dijalankan oleh Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).
Dalam pada itu, Amir Hamzah turut menegaskan, prinsip kesederhanaan menjadi keutamaan kerajaan dalam mendepani ketidaktentuan harga minyak dunia yang kini berada pada sekitar AS$100 setong selepas sempat mencecah AS$119 setong sebelum ini.
“Kesederhanaan itu sangat penting kerana kita tahu keadaan global ketika ini tidak stabil. Sebab itu, wujud saranan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan tidak mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri yang besar tahun ini.
“Ini adalah isyarat penjimatan yang jelas,” katanya lagi.
Beliau juga menambah, kerajaan mahu memastikan setiap ruang yang ada ketika ini digunakan sepenuhnya untuk agenda pembaharuan ekonomi.
Sementara itu, beliau turut mengakui negara berdepan tekanan kenaikan subsidi yang melonjak namun memberi jaminan ekonomi Malaysia tetap utuh hasil daripada reformasi fiskal yang telah dilaksanakan sejak tiga tahun lalu.
“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang berkembang 5.2 peratus pada tahun 2025 menjadi asas kukuh untuk Malaysia terus menarik pelaburan langsung asing (FDI) walaupun dalam keadaan geopolitik dunia yang mencabar.
“Apabila berlaku ketidakstabilan di tempat lain, Malaysia mampu menunjukkan keunikan kita sebagai negara yang aman dan berpotensi.
“Kestabilan inilah yang menjadi daya tarikan utama kepada pelabur asing untuk terus memilih Malaysia,” katanya. -MalaysiaGazette
















