TEMERLOH – Seorang lelaki maut selepas lori treler dipandunya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 18, Jalan Lipis-Jerantut, di Kampung Lentang, Lipis kira-kira 2.28 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, kejadian membabitkan sebuah treler Foton, sebuah lori Isuzu dan sebuah kereta jenis Honda Jazz.
“Hasil siasatan awal polis mendapati, pemandu treler Foton merupakan lelaki warganegara tempatan berusia 41 tahun bergerak dari Gua Musang, Kelantan menuju ke Mentakab untuk menghantar muatan batu kapur.
“Pemandu lori Isuzu pula merupakan lelaki warganegara tempatan berusia 52 tahun bergerak dari arah Kerambit, Kuala Lipis menuju ke rumahnya di Batu 9, Kuala Lipis.
“Sementara itu, pemandu kereta Honda Jazz iaitu wanita warganegara tempatan berusia 27 tahun bergerak dari arah rumahnya di Jerantut menuju ke Machang, Kelantan selepas selesai bercuti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Apabila tiba di lokasi kejadian, beliau berkata, pemandu lori treler telah hilang kawalan ke atas kenderaannya semasa melalui selekoh tajam dan terbabas ke kanan jalan lalu terbalik.

Lori treler itu kemudian bertembung secara berhadapan dengan lori Isuzu yang datang dari arah bertentangan.
Pemandu kereta Honda Jazz yang berada di belakang lori Isuzu itu cuba mengelak kemalangan terbabit namun gagal. Akibat rempuhan itu, pemandu treler Foton, Shahfik Fanzi Rosli, 41 telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ismail berkata, pemandu lori Isuzu telah mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk diberikan rawatan lanjut manakala pemandu kereta Honda Jazz tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, kes masih dalam siasatan pihak polis di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mana-mana pihak mempunyai maklumat lanjut atau menyaksikan kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















