JOHOR BAHRU – Isu kesediaan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kembali ke pangkuan parti dan gesaan tarik balik penggantungan Datuk Maulizan Bujang dijangka menjadi perkara utama dalam Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor esok
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan melihat isu yang membabitkan Naib Presiden UMNO dan bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau itu menjadi keutamaan untuk dibangkitkan.
Menurutnya, sekiranya perkara tersebut tidak dibangkitkan oleh pihak lain, beliau sendiri akan mengemukakan perkara itu dalam mesyuarat berkenaan.
“Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor esok, tentu ada pihak yang akan membangkitkan perkara ini, paling tidak ketua-ketua UMNO bahagian.
“Kalau tidak ada yang bangkitkan, saya sendiri akan bangkitkan dalam mesyuarat itu,” katanya selepas menyerahkan sumbangan sempena ziarah Ramadan kepada Balai Polis dan Balai Bomba di Pontian di sini hari ini.
Semalam, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong menyatakan kesediaan untuk terus berjuang dalam UMNO.
Seterusnya, Maulizan pula menggesa parti itu menarik balik penggantungan yang dikenakan ke atas beberapa individu sejak tiga tahun lalu termasuk terhadap dirinya.
Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menambah, isu tersebut boleh disalurkan melalui pelbagai platform dalam parti termasuk ke peringkat tertinggi.
“Saya terlibat dalam beberapa peringkat, antaranya sebagai ahli Jawatankuasa Rumah Bangsa, ahli mesyuarat nasional dan juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor.
“Jadi perkara ini boleh dibawa melalui saluran berkenaan sebelum dibincangkan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi,” katanya yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya.
Beliau berkata, secara peribadi menyambut baik usaha untuk menerima kembali bekas tokoh parti termasuk Khairy Jamaluddin yang ingin kembali menyertai UMNO.
“Saya sendiri akan menyebut dalam mesyuarat bahawa kita perlu mengalu-alukan mereka tetapi keputusan muktamad tetap perlu melalui mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi,” katanya.
Tambahnya, setakat ini, kepimpinan parti peringkat tertinggi telah menyatakan bahawa tiada syarat dikenakan untuk menerima semula bekas ahli yang mahu kembali.
“Jadi dengan mudahnya kita akan menerima mereka. Kita tidak mahu marah-marah sebaliknya perlu berbincang dan berunding secara baik,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















