MUAR – Seorang pelajar Politeknik Pagoh maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di kawasan bulatan Hab Universiti Pagoh di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan pukul 8.10 pagi itu melibatkan motosikal Yamaha LC135 ditunggang mangsa dan kereta jenis Perodua Axia dipandu seorang wanita berusia 32 tahun.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta tersebut sedang bergerak dalam bulatan dari arah Pagoh menuju ke Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Pagoh.

“Semasa berada di lokasi kejadian, pemandu kereta tersebut dipercayai mengubah haluan secara mengejut dari lorong kanan ke kiri lalu melanggar motosikal itu yang datang dari arah sama di lorong kiri,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, akibat pelanggaran tersebut penunggang terbabit iaitu seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, rakan mangsa yang juga belajar di Politeknik Pagoh berusia 19 tahun cedera di bahagian kaki dan kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.

Menurut beliau, pemandu kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan, ujian saringan air kencing terhadap wanita berkenaan mendapati negatif dadah.

Jelasnya, pemandu terbabit ditahan untuk siasatan lanjut, mayat dihantar ke HPSF untuk tujuan bedah siasat bagi mendapatkan sebab kematian.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000.

Pesalah juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh lima tahun, katanya.

Pihaknya meminta saksi kejadian untuk menghubungi Inspektor Muhamad Azim Aziz 018-9704143 atau tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk membantu siasatan.- MalaysiaGazette

Caption gambar: Seorang pelajar Politeknik Pagoh maut selepas motosikal ditunggang kemalangan di kawasan bulatan Hab Universiti Pagoh, Muar, hari ini.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast