Sumber : Kesultanan Pahang

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar projek pembinaan jambatan baharu di Kampung Binjai, Lipis dapat disiapkan mengikut jadual kerana ia amat penting dalam meningkatkan kemudahan perhubungan serta kesejahteraan penduduk setempat.

Titah baginda, projek yang menelan belanja kira-kira RM63 juta itu amat penting bagi memudahkan pergerakan penduduk setempat selain meningkatkan kemudahan perhubungan di kawasan kampung berkenaan.

“Saya difahamkan ada sedikit kelewatan pada peringkat awal pembinaan. Saya harap pihak kontraktor dapat mengejar semula jadual pelaksanaan supaya projek ini dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan.

“Saya sendiri berharap dapat melihat jambatan ini siap dalam tempoh yang dirancang iaitu sekitar Februari 2028,” titah baginda menerusi Kesultanan Pahang.

Baginda sebelum itu berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di Kampung Binjai di Lipis hari ini, diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Sumber : Kesultanan Pahang

Keberangkatan baginda berdua disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail;  Duta Besar UAE ke Malaysia, Dr. Mubarak Saeed Aldhaheri dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang (LPHP), Datuk Ahmad Islanizam A.Halim.

Pada majlis berkenaan, Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) kepada 22 penerima melibatkan tiga daerah iaitu Lipis, Raub dan Bentong.

Dalam pada itu, bginda turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya banjir di kawasan Kampung Binjai memandangkan keadaan sungai yang berliku dan berpotensi menghalakan aliran air ke kawasan kampung.

Paduka Baginda menzahirkan cadangan agar agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjalankan kajian bagi menambah baik aliran sungai termasuk kemungkinan meluruskan alirannya atau menyediakan sistem perparitan tambahan bagi mengurangkan risiko banjir pada masa hadapan.

“Saya tidak boleh jamin bahawa pembinaan jambatan ini akan mengelakkan banjir sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat memudahkan pergerakan penduduk ketika musim biasa.

“Namun, jika kajian dapat dibuat untuk memperbaiki aliran sungai, mungkin ia dapat membantu meredakan kesan banjir pada masa akan datang,” titah baginda.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast