MELAKA – Suasana di Sungai Melaka seakan menjadi ‘madrasah terapung’ apabila seramai 120 pelajar tahfiz mengkhatamkan bacaan 30 juzuk al-Quran di atas lima bot Melaka River Cruise menyusuri sungai berkenaan.
Program unik anjuran Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) itu bermula dari Pengkalan Rama menuju ke muara Sungai Melaka sebelum kembali semula ke lokasi sama dengan perjalanan sejauh sembilan kilometer selama hampir satu jam.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Shaharul Azuar Idris berkata, penganjuran majlis melibatkan pelajar tingkatan dua dan tingkatan empat dari Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab itu bertujuan membawa kelainan dalam menghidupkan bulan Ramadan.

Shaharul Azuar (tengah) bergambar kenangan bersama sebahagian daripada 120 pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab.
“Tujuannya adalah untuk membawa generasi muda mencintai al-Quran di samping mengambil keberkatan bulan Ramadan. Ia juga bersempena ulang tahun ke-20 PPSPM selain meraikan 14 tahun penubuhan Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau berkata, majlis khatam al-Quran di sungai itu adalah kali kedua dianjurkan kerana PPSPM selepas tahun 2013 bersama sebuah sekolah tahfiz.

“Insya-Allah program ini akan diteruskan setiap tahun dan kita membuka peluang kepada mana-mana sekolah tahfiz di seluruh Melaka untuk turut bekerjasama menjayakannya,” katanya.
Sementara itu, pengetua sekolah, Muhammad Ikhwan Zahari berkata, pengalaman khatam al-Quran di atas bot merupakan sesuatu yang berbeza bagi pelajar kerana sebelum ini majlis seumpama itu lazimnya diadakan di masjid atau di sekolah.
“Alhamdulillah hari ini pelajar berjaya menamatkan bacaan 30 juz dengan cara kita pecahkan bacaan mengikut juz dan diagihkan kepada lima bot.
“Setiap bot membaca kira-kira enam juz al-Quran sekali gus membolehkan keseluruhan bacaan diselesaikan dalam tempoh kira-kira 45 minit,” katanya.

Selepas majlis khatam itu, para pelajar dan penganjur turut menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Fat’hur Rahman Pengkalan Rama sebelum menunaikan solat Maghrib dan tarawih bersama komuniti setempat.
Dalam majlis sama, PPSPM turut menyampaikan sumbangan kepada pihak masjid dan sekolah sebagai tanda penghargaan atas kerjasama menjayakan program tersebut. – MalaysiaGazette
















