Mahkamah Termerloh

TEMERLOH – Seorang suri rumah tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Temerloh hari ini di atas dua pertuduhan mengakibatkan cedera parah ke atas suaminya yang berusia 52 tahun.

Sambil mendukung bayinya yang berusia enam bulan, tertuduh, Ita Samira Tukiman, 24 membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Bagi kesalahan pertama, ibu kepada dua anak itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada suaminya dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging pada 26 Februari 2026 kira-kira 9 malam di sebuah rumah di Kampung Ibam, Bera.

Bagi kesalahan kedua pula, wanita itu dituduh dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada suaminya dengan air panas pada 27 Februari 2026 kira-kira 9 malam di lokasi sama.

Justeru, bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zaffar, manakala tertuduh diwakili Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Khairul Anuar Abu Hassan Ashaari.

Hakim Jamaludin membenarkan wang ikat jamin sebanyak RM1,000 bagi setiap kesalahan terhadap wanita itu dan menetapkan 27 April depan bagi sebutan semula kes, lantikan peguam dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast