MELAKA – Hasrat 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia untuk pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman tidak kesampaian apabila mereka dicekup Pasukan Polis Marin (PPM) di pesisir pantai Teluk Pulau Upeh, awal pagi semalam.
Serbuan kira-kira pukul 2.30 pagi itu dilakukan anggota PPM Wilayah Dua Melaka dalam Op Taring Landai (Op Khas Aidilfitri 2026) hasil maklumat risikan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, operasi berkenaan berjaya menahan 18 warga Indonesia terdiri daripada 16 lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 50 tahun.
“Siasatan awal mendapati, tiga daripada mereka dipercayai bertindak sebagai tekong darat yang menguruskan penghantaran migran sebelum diserahkan kepada pihak ketiga untuk dibawa pulang ke Indonesia.
“Kesemua PATI itu dipercayai sedang menunggu tekong laut untuk membawa mereka keluar dari negara ini melalui laluan laut secara haram menuju ke Dumai, Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, hasil soal siasat mendapati, mereka dihantar ke kawasan persisiran pantai menggunakan beberapa kenderaan sebelum ditinggalkan di lokasi berkenaan sementara menunggu bot.
“Setiap migran dipercayai membayar antara RM1,500 hingga RM1,700 kepada ejen bagi menguruskan perjalanan pulang ke negara asal.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Tambah Dzulkhairi, dalam operasi itu, polis turut merampas 26 telefon bimbit pelbagai jenis selain wang tunai RM14,465 dan Rupiah Indonesia berjumlah 36,976,300 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM48,151.85. – MalaysiaGazette
















