MELAKA – Permintaan tinggi dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk masuk ke negara ini mendorong sindiket penyeludupan migran semakin aktif menjalankan kegiatan itu sejak awal Ramadan lalu.
Ia bagaimanapun terbongkar pukul 3 pagi semalam apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menahan sebuah bot gentian kaca yang membawa tujuh migran warga Indonesia bersama dua lelaki dipercayai tekong dan pembantunya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesemua mereka ditahan di perairan kira-kira satu batu nautika utara Pulau Upeh menerusi Op Taring Gelora (Op Khas Aidilfitri 2026).
“Tangkapan dibuat selepas pihak polis mengesan bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan cuba merapat ke pesisiran pantai sebelum berjaya menahan tujuh penumpang warga Indonesia iaitu tiga lelaki dan empat wanita berusia antara 27 hingga 45 tahun.
“Turut ditahan dua lelaki berperanan sebagai tekong dan pembantunya.
“Siasatan awal mendapati kesemua migran berkenaan membayar antara RM2,000 hingga RM3,000 kepada tekong untuk masuk secara haram ke negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan awal juga mendapati, tekong bersama pembantunya telah melakukan kegiatan itu sekurang-kurangnya tiga kali sejak awal Ramadan lalu.
“Sindiket dipercayai diketuai seorang lelaki warga Indonesia yang menetap di Kampung Sukajadi, Dumai, Indonesia dan kesemua penumpang berurusan dengan tekong melalui kenalan rapat masing-masing,” katanya.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Melaka untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) kerana menjalankan aktiviti penyeludupan migran serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk atau keluar negara tanpa dokumen sah.
Dalam operasi sama, polis turut merampas sebuah bot gentian kaca sepanjang 33 kaki, dua enjin sangkut Yamaha masing-masing 40 kuasa kuda (HP) dan 60 HP, tujuh telefon bimbit serta tujuh tong minyak dengan nilai rampasan dianggarkan RM78,850.
PPM Wilayah Dua menegaskan pemantauan di perairan negeri ini akan terus dipertingkatkan sepanjang musim perayaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan migran dan kemasukan serta keluar negara secara haram. – MalaysiaGazette
















