Maulizan Bujang

JOHOR BAHRU – Bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang yang digantung keahliannya mahu parti mempertimbangkan untuk menarik balik penggantungan keahlian beberapa ahli tanpa syarat dalam usaha memperkukuh perpaduan dalam parti.

Beliau yang juga bekas Exco kerajaan negeri berkata, langkah tersebut wajar dipertimbangkan sekiranya kepimpinan parti berpendapat UMNO tidak mampu berpecah dan perlu kembali bersatu bagi memulihkan sokongan rakyat.

“Ahli yang digantung sebenarnya masih berstatus sebagai ahli parti namun hak mereka sebagai ahli dinafikan sepanjang tempoh penggantungan.

“Jika kepimpinan berpendapat parti tidak boleh terus lemah dan berpecah, MKT boleh sahaja membuat keputusan menarik balik penggantungan tanpa syarat.

“Tidak perlu ada syarat untuk memohon atau merayu kerana mereka yang digantung masih lagi ahli parti, cuma hak sebagai ahli dinafikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain Maulizan, turut digantung selama enam tahun ialah Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif.

Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut dipecat UMNO berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Penggantungan dan pemecatan pemimpin UMNO tersebut diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO pada 27 Januari 2023.

Maulizan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram yang sudah lebih 40 tahun bersama-sama UMNO berkata, sepanjang tempoh penggantungan itu, beliau masih mengekalkan hubungan baik dengan rakan-rakan dalam parti.

Katanya, sepanjang penglibatan dalam UMNO, beliau pernah memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Tebrau selama empat penggal.

“Sepanjang tempoh itu saya tidak pernah mengkhianati parti dan apabila digantung tanpa dinyatakan sebabnya, sudah tentulah perasaan kecewa itu ada apatah lagi timbul cerita fitnah di media sosial yang mengaitkan saya.

“Saya terima takdir yang ditentukan dan sepanjang tempoh penggantungan saya masih lagi berkawan dengan rakan rakan daripada UMNO,” katanya.

Beliau turut mengakui UMNO ketika ini masih belum sepenuhnya berjaya mengembalikan sokongan serta keyakinan rakyat seperti sebelum ini.

“Kita juga kena akui bahawa UMNO pada ketika ini masih belum dapat kembali sokongan dan keyakinan rakyat seperti dahulu. Sebarang usaha untuk perkukuhkan parti walaupun pahit bagi sesetengah orang mestilah dilakukan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap semua pihak dapat mengelakkan daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan usaha penyatuan parti.

“Insya-Allah kami juga tidak memerlukan ‘karpet merah’ sekiranya ingin kembali kepada UMNO,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast