Azlan Komen dan Nur Nilam Ortiz memfailkan saman terhadap seorang individu, Norsufia binti Johari yang juga dikenali sebagai CP atau Cik Pia berhubung beberapa kenyataan yang didakwa menjejaskan reputasi serta kepentingan pihak plaintif.

KUALA LUMPUR – Pasangan usahawan serta selebriti, Nur Nilam Ortiz dan pelakon, Azlan Komeng menegaskan mereka sentiasa menghormati proses undang-undang serta memilih untuk menyelesaikan segala isu berbangkit melalui saluran yang sah.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan, mereka juga percaya setiap perkara harus diselesaikan melalui proses undang-undang yang adil dan telus.

Jelas mereka, keputusan mahkamah baru-baru ini memberikan ruang kepada kebenaran untuk terus ditegakkan berdasarkan fakta dan bukti.

“Keputusan mahkamah yang diumumkan pada 5 Mac 2026 itu dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap kedudukan undang-undang pihak plaintif sekali gus mengukuhkan komitmen Nilam Ortiz Dan Azlan Komeng dalam mempertahankan reputasi, integriti serta kepentingan perniagaan mereka.

“Dalam perkembangan berkaitan, Azlan Komeng juga disahkan telah bebas daripada status bankrap sekali gus menamatkan segala spekulasi yang berlegar di ruang awam sebelum ini.

“Perkara ini membuka ruang baharu untuk Azlan dan Nilam meneruskan kehidupan serta perniagaan mereka dengan lebih stabil,” katanya kenyataan itu di sini hari ini.

Kes mereka bermula apabila memfailkan saman terhadap seorang individu, Norsufia Johari yang juga dikenali sebagai CP atau Cik Pia berhubung beberapa kenyataan yang didakwa menjejaskan reputasi serta kepentingan pihak plaintif.

Mahkamah sebelum ini telah mengeluarkan perintah injunksi bagi menghalang sebarang kenyataan lanjut berkaitan isu tersebut sementara kes masih berjalan.

Bagaimanapun, mahkamah kemudian dimaklumkan mengenai dakwaan pelanggaran perintah tersebut yang membawa kepada permohonan prosiding komital oleh pihak plaintif

Sementara itu, teka-teki mengenai status perkahwinan  Nur Nilam dan Azlan juga  akhirnya terjawab apabila mereka mengesahkan sudah bercerai.

Nilam begitu pun enggan berkongsi mengenai punca dan tarikh perceraian mereka sebaliknya mendedahkan pengumuman buat pertama kali itu bagi mengelak fitnah dan dilakukannya selepas selesai tempoh idah.

Menurut Nilam lagi, mereka tetap bersahabat baik demi kebajikan anak mereka bersama.

Pasangan Nur Nilam dan Azlan yang juga seorang pelakon drama dan filem bernikah pada 22 Januari 2022 dan hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang dilahirkan September tahun lalu.

Pada 9 April tahun lalu, Nur Nilam menarik perhatian ramai di media sosial apabila hadir ke mahkamah syariah dengan berpakaian serba hitam untuk memfailkan fasakh terhadap Azlan.

Sebelum itu, pada Mac tahun yang sama, Nur Nilam mendedahkan Azlan bakal berkahwin kali kedua dengan seorang wanita yang didakwa menjadi ‘orang ketiga’ dalam rumah tangga mereka.

Bagaimanapun, Azlan tampil memaklumkan kemelut rumah tangganya dan Nur Nilam dapat diselesaikan dengan baik pada Julai tahun lalu selepas pertemuan dengan pegawai jabatan agama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast