KUALA LUMPUR – Vokalis kumpulan rock popular era 80-an, Bumiputra Rockers (BPR), Joey meninggal dunia hari ini selepas menjayakan persembahan di Istana Budaya di sini semalam.
Menurut kenyataan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) dan Koperasi Industri Rakaman Muzik Malaysia (KOIRAMA), Joey atau nama sebenarnya Johari Mat Rozekhi, 63, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Presiden IRAMA, Ayob Abd. Majid berkata, maklumat keluarga menyatakan, pemeriksaan perubatan mendapati allahyarham mengalami pendarahan di kepala selain komplikasi berkaitan jantung.
Difahamkan, vokalis BPR itu kelihatan hilang keseimbangan diri ketika menyanyikan lagu kedua menyebabkan persembahannya terpaksa dihentikan dan dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans yang disediakan di tapak persembahan.
Ayob berkata, pemergian Joey merupakan kehilangan besar kepada dunia muzik tanah air kerana allahyarham antara figura yang mencorakkan perkembangan muzik rock Melayu dan namanya cukup sinonim dengan kumpulan BPR yang mencipta nama sejak era 80-an.
“IRAMA dan KOIRAMA menzahirkan rasa dukacita yang amat mendalam atas pemergian Johari Mat Rozekhi, atau lebih dikenali sebagai Joey BPR, yang telah kembali ke rahmatullah pada pagi ini di HKL.
“IRAMA dan KOIRAMA merakamkan ucapan takziah yang tulus kepada isteri allahyarham, Zarinah Zainal, anak-anak dan seluruh keluarga serta sahabat handai Allahyarham.
“Semoga seluruh keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi saat yang penuh kesedihan ini,” ujarnya sambil berkata, jenazah allahyarham dibawa ke Masjid Ukay Perdana, Ampang.
Difahamkan, solat jenazah akan dilakukan selepas solat Asar sebelum dikebumikan.
Ayob selanjutnya berkata, pemergian Joey lebih daripada sekadar kehilangan seorang anak seni kerana allahyarham merupakan rakan seperjuangan dan sahabat kepada ramai warga industri termasuk pernah menyumbangkan khidmat sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Koperasi IRAMA.
Ujarnya, segala jasa, pengalaman dan sumbangan Allahyarham dalam memperjuangkan industri muzik akan terus dihargai dan dikenang.
“Karya-karya yang ditinggalkan menjadi sebahagian daripada sejarah muzik popular Malaysia yang tidak ternilai,” katanya.
Antara karya BPR yang sehingga kini terus menjadi ingatan peminat termasuk `Aku Hanya Serangga’, `Dari Sinar Mata” dan `Seribu Tahun Takkan Mungkin’.
Kumpulan tersebut juga melalui beberapa fasa penting dalam industri menerusi album seperti Selamat Pagi Malaysia, Bisa, Kelab Jiwa Luka dan Era 90-an. – MalaysiaGazette
















