KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan menasihati penceramah bebas, Zamri Vinoth dan aktivis Tamim Dahri yang dilaporkan melarikan diri ke Thailand supaya balik ke Malaysia.
Katanya, kedua-dua individu itu sepatutnya berani berdepan dengan kesan daripada tindakan mereka yang mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti.
“Jadi nasihat saya kalau tidak buat salah, baliklah ke Malaysia. Kenapa hendak sembunyi? Sebelum ini mereka bercakap kononnya mewakili rakyat Malaysia.
“Jadi kepada yang lari-lari ini, sila pulang. Kamu berani keluarkan kenyataan, cetuskan huru hara, jadi balik” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Konvoi Ziarah Madani di Kepong hari ini.
Ramanan berkata, kerajaan telah menegaskan sebelum ini bahawa sesiapa juga yang melanggar isu 3R tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.
“Kabinet telah membuat keputusan sesiapa pun yang melanggar 3R, tidak kisah sama ada dia Melayu, Cina atau India. Kalau dia menggugat keharmonian negara, memainkan isu kaum, isu agama, tindakan tegas akan diambil,” tambahnya.
Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata usaha mengesan dua individu terbabit sedang giat dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand.
Katanya, Zamri disiasat berhubung kenyataannya pada perhimpunan di ibu negara pada 7 Febuari lalu telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan arahan pertuduhan melibatkan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.
Selain itu, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataan berbaur penghinaan terhadap kaum India telah dirujuk ke pejabat pendakwaan Pulau Pinang dan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Manakala kertas siasatan melibatkan Tamim berhubung tindakan merosakkan soolam yang menjadi simbol suci bagi agama Hindu di tapak lama kuil di Langkawi, Kedah telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Kedah dan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette
















