Muhammad Hariz Md Yusoff (tiga dari kiri) bersama pemegang amanah Yayasan Kubra, Ustaz Ismail Mina (berjubah coklat) serta sebahagian pasukan peguam hadir pada satu prosiding berlainan 12 Februari lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam. 14 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Peguam mewakili Yayasan Kubra (YK) menafikan laporan media semalam yang menyatakan Mahkamah Majistret Selayang memerintahkan supaya kerja perobohan kuil di Rawang di atas tanah yayasan itu dihentikan sementara.

Muhammad Hariz Md Yusoff menjelaskan, laporan berkenaan mengelirukan kerana tiada sebarang perintah sedemikian dikeluarkan oleh mahkamah.

“Sebarang kenyataan mengelirukan atau manipulasi dengan memetik perintah mahkamah boleh dikenakan tindakan penghinaan mahkamah.

“YK menyeru semua pihak agar tidak membuat anggapan dan andaian bahawa mahkamah yang mengarahkan sedemikian sedangkan arahan itu tidak dikeluarkan,” ujarnya dalam kenyataan menerusi laman Facebook hari ini.

Beliau memetik laporan media semalam yang menyatakan Mahkamah Majistret Selayang memerintahkan YK untuk tidak meneruskan kerja merobohkan kuil berkenaan sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pertikaian hak milik tanah.

Muhammad Hariz selanjutnya menjelaskan, prosiding semalam adalah berkaitan permohonan aduan pihak kuil haram di bawah Seksyen 99(1) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) berkenaan pertikaian terhadap tanah (termasuk bangunan) yang didakwa kononnya berlaku gangguan ketenteraman awam.

Ujar beliau, Seksyen 99 di bawah Bab Pertikaian Mengenai Harta Tak Alih hanya berfokus kepada (1) pertikaian mengenai tanah dan (2) wujudnya atau barangkali wujudnya gangguan kepada ketenteraman awam.

“Ia tidak sama sekali menyentuh kepada bidang kuasa menentukan hak milik berdaftar atau geran milikan tanah tersebut. Fokus untuk elak berlakunya sebarang gangguan ketenteraman awam. Itu sahaja.

“Jelas bahawa aduan kuil haram tiada kaitan langsung dengan penentuan hak milik berdaftar YK ke atas tanah tersebut dan mereka tidak mempertikai hak milik berdaftar yayasan,” katanya.

Ketika dihubungi MalaysiaGazette, Muhammad Hariz berkata, YK difahamkan pihak kuil haram sebelum ini memfailkan tindakan sivil di Shah Alam, walhal aduan sebenarnya difailkan di Mahkamah Majistret Jenayah Selayang berkaitan isu pecah aman atau gangguan ketenteraman awam.

Jelas beliau lagi, pada prosiding semalam, anak guamnya mengemukakan bantahan aduan secara menentang sebelah pihak (opposed ex-parte) terhadap permohonan pihak kuil haram di bawah Seksyen 99(1), namun ditolak oleh mahkamah.

Ujarnya, Majistret Chai Guan Hock kemudian mengeluarkan perintah awal (preliminary order) selepas mendapati wujud sebuah kuil sejak tahun 1995 dan mendapati pemilik berdaftar memiliki tanah tersebut sekitar tahun 2021.

“Melalui perintah awal, mahkamah berpuas hati terdapat aduan pertikaian ke atas tanah tersebut dan mendapati sebuah kuil telah wujud sejak 1995 manakala pemilik berdaftar hanya memiliki tanah tersebut pada sekitar 2021.

“Mahkamah juga menyatakan pertikaian ini menyebabkan fakta tambahan berpotensi mengugatkan ketegangan pihak terutama masyarakat setempat yang berpotensi mendatangkan kegusaran awam sekiranya tidak diatasi. Mahkamah berpuas hati pematuhan Seksyen 99(1) dipenuhi,” katanya.

Muhammad Hariz seterusnya menjelaskan, mahkamah kemudian memerintahkan pihak-pihak hadir pada prosiding lanjutan yang ditetapkan pada 5 Jun ini untuk pendengaran di bawah Seksyen 99(4) dan memfailkan kenyataan bertulis berserta keterangan berkenaan milikan sebenar berkaitan tanah tersebut.
.
Kata beliau, pihaknya turut diarahkan oleh anak guam untuk mendapatkan alasan penghakiman Mahkamah Majistret termasuk nota prosiding (CRT) untuk tujuan pemfailan semakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast