Para peserta, rakan strategik dan komuniti automotif berhimpun bersama penganjur program, Encik Zaki bagi meraikan pelancaran rasmi Truck Fighter Meet & Show Event 2.0. Acara ini menjadi platform mengeratkan hubungan serta memperkukuh jaringan dalam kalangan penggiat industri 4x4 dan trak.
Para peserta, rakan strategik dan komuniti automotif berhimpun bersama penganjur program ketika pelancaran rasmi Truck Fighter Meet & Show Event 2.0, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR — Lebih 2,000 pemilik kenderaan pacuan empat roda (4WD) dari seluruh negara dijangka membanjiri Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada 20 Jun depan dalam himpunan mega acara Truck Fighter & Meet Show 2.0 yang dilihat bakal menjadi antara acara 4×4 terbesar tahun ini.

Program anjuran Zaki GM Garage Sdn. Bhd itu bukan sekadar pertemuan santai, sebaliknya dijangka menghimpunkan kira-kira 5,000 pengunjung terdiri daripada peminat 4×4, usahawan bengkel, penggiat industri automotif serta komuniti sukarelawan pacuan empat roda dari seluruh Malaysia.

Menurut kenyataan penganjur, acara berkenaan bertujuan memperkukuh solidariti komuniti 4WD yang sering menjadi ‘wira tidak didendang’ ketika bencana alam, khususnya dalam operasi menyelamat dan bantuan banjir.

“Program berkenaan turut menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim serta membina jaringan kerjasama antara usahawan bengkel 4×4 di Selangor dan negeri-negeri lain, sekali gus memberi impak positif kepada perkembangan ekonomi industri automotif, khususnya sektor kenderaan pacuan empat roda.

“Acara ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan penganjuran edisi pertama yang berlangsung pada Mei tahun lalu di perkarangan Stadium Shah Alam,” katanya.

Lebih menarik, edisi kali ini bakal disertai komuniti 4WD dari Thailand dan Singapura, sekali gus mengangkat acara tersebut sebagai platform pertemuan serantau dan medan promosi industri automotif tempatan ke peringkat lebih luas.

Sepanjang program berlangsung, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai aktiviti termasuk pameran kenderaan 4×4, pertandingan autoshow dengan 21 kategori, aktiviti off-road yang mencabar adrenalin, gerai jualan, pameran industri serta cabutan bertuah.

Apa yang pasti menjadi tumpuan adalah hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah kenderaan Isuzu D-Max, selain pelbagai hadiah sampingan menarik yang menanti peserta bertuah.
Hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah kenderaan Isuzu D-Max, selain pelbagai hadiah sampingan menarik menanti peserta bertuah.

“Penganjuran kali ini diharap mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti pemilik dan peminat 4WD di Malaysia, sekali gus memperkukuh peranan komuniti tersebut sebagai rakan strategik dalam membantu masyarakat ketika berhadapan situasi kecemasan dan bencana alam,” katanya.

Dengan ribuan ‘jentera besi’ bakal berkumpul di satu lokasi, MAEPS dijangka bertukar menjadi lautan 4WD dengan persoalan siapa yang bakal pulang membawa pulang D-Max? — MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast