KUALA LUMPUR – Seramai empat individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya menerusi satu operasi yang dijalankan baru-baru ini.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun itu telah dibawa ke lokasi kejadian bagi tujuan pengecaman untuk membantu siasatan berkaitan barang kes yang ditemui.
Katanya, tangkapan tersebut dibuat hasil maklumat risikan serta intipan yang digerakkan oleh Unit Polis Bantuan Prasarana bersama pasukan polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor.
“Tangkapan dilakukan susulan laporan polis yang dikemukakan oleh Prasarana berhubung kejadian kecurian kabel yang berlaku berhampiran Stesen Sri Damansara Barat pada 3 Mac lalu.
“Insiden itu telah menyebabkan gangguan kepada operasi perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya selama tiga hari, sekali gus menimbulkan kesulitan kepada ribuan pengguna pengangkutan awam kendalian Prasarana,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan merakamkan ucapan syabas dan penghargaan kepada PDRM atas tindakan pantas dan profesional memberkas suspek dan mempercepatkan proses siasatan.
Jelasnya, kerjasama erat antara Unit Polis Bantuan Prasarana dan PDRM akan terus diperkukuhkan melalui usaha pemantauan, intipan serta perkongsian maklumat secara berterusan bagi memastikan kegiatan kecurian kabel dapat dibanteras sepenuhnya.
“Prasarana juga akan terus memperkukuhkan langkah keselamatan di sepanjang jajaran MRT Laluan Putrajaya termasuk meningkatkan rondaan keselamatan, pemantauan serta kerjasama strategik dengan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan infrastruktur pengangkutan awam sentiasa terpelihara,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan yang boleh menjejaskan keselamatan kemudahan pengangkutan awam negara. – MalaysiaGazette
















