Mohd Fairus (tengah) memegang plakad antara organisasi yang turut menyumbang pada program kebajikan Jejak Du'afa untuk mengesan golongan asnaf yang terpinggir, selain menghubungkan mereka dengan agensi kerajaan.

ALOR GAJAH – Hanya 18 daripada 100 asnaf di Melaka dikesan berdaftar sebagai penerima bantuan zakat, sekali gus menimbulkan kebimbangan masih ramai kumpulan itu tercicir daripada sistem bantuan sedia ada.

Pengerusi Global Peace Mission (GPM) Melaka, Mohd Fairus Ahmad berkata, data itu dikesan selepas pihaknya membuat semakan terhadap senarai penerima yang dikenal pasti melalui program kebajikan komuniti dikenali Jejak Du’afa.

Menurutnya, hasil semakan melalui laman sesawang Pusat Zakat mendapati, sebahagian besar individu yang benar-benar memerlukan bantuan tidak pernah berdaftar dengan mana-mana agensi kebajikan.

Mohd Fairus Ahmad

“Apabila kita semak dalam sistem Pusat Zakat, daripada 100 nama yang dimasukkan selepas dikesan 50 petugas komuniti (PIC) dilantik di seluruh negeri, hanya 18 orang sahaja berdaftar sebagai asnaf.

“Maknanya, 82 lagi mereka yang memerlukan bantuan tetapi tiada dalam sistem.

“Jika jumlah ini turut didapati dalam jumlah 900 orang, mungkin ada kira-kira 700 lagi yang memerlukan tapi belum berdaftar untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program Jejak Du’afa dan Iftar Kasih Ramadan di sini, semalam.

Pada program itu, kira-kira 900 keluarga asnaf di seluruh Melaka dikenal pasti PIC untuk menerima sumbangan barangan keperluan asas bernilai kira-kira RM60 bagi setiap pek.

Program kebajikan Jejak Du’afa menyaksikan kira-kira 900 keluarga asnaf di seluruh Melaka dikenal pasti PIC untuk menerima sumbangan barangan keperluan asas bernilai kira-kira RM60 bagi setiap pek.

Mengulas lanjut, Mohd Fairus berkata, sebahagian golongan miskin berasa malu untuk memohon bantuan selain kurang pendedahan mengenai proses pendaftaran.

“Kadang-kadang orang susah ini sendiri tidak mengaku mereka susah kerana malu dan segan untuk tampil memohon bantuan, sebab itu ramai yang tidak berdaftar walaupun mereka sebenarnya layak,” tambahnya.

Menurutnya, program Jejak Du’afa diwujudkan bagi membantu mengesan golongan asnaf yang terpinggir, selain menghubungkan mereka dengan agensi seperti Pusat Zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

“Melalui program ini, seramai 50 petugas PIC dilantik di seluruh negeri bagi mengenal pasti keluarga yang memerlukan bantuan di kawasan masing-masing.

“Ini kerana PIC lebih kenal siapa yang benar-benar susah dan memerlukan bantuan sebelum mencadangkannya untuk dibantu,” katanya.

Antara organisasi yang turut menyumbang pada program itu termasuk Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Melaka (PEPIM) dan Yayasan Takwa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast