Datuk Mohamad Razali Mohamad Rahim menyerahkan replika cek kepada penerima sumbangan Kumpulan Pelaburan MARA dalam satu majlis di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Pelaburan MARA menyampaikan sumbangan korporat dan zakat perniagaan merangkumi pelbagai inisiatif kebajikan dengan nilai keseluruhan lebih RM56,000 kepada tiga institusi sempena Majlis Iftar 2026 Kumpulan Pelaburan MARA di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sumbangan itu melibatkan anak syarikat Pelaburan MARA iaitu PMB Tijari Berhad (PMB Tijari); PMB Analytics Sdn Bhd (PMB Analytics) serta Kelab Sukan dan Kebajikan PMB United.

Penerimanya pula terdiri daripada beberapa pihak termasuk Maktab Sains MARA (MRSM) Ulul Albab dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) yang masing-masing menerima RM30,000.

Turut menerima tajaan zakat perniagaan untuk iftar dan duit raya ialah anak-anak asnaf di bawah Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh Malaysia berjumlah lebih RM23,000.

Anak-anak asnaf di bawah Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh Malaysia diraikan pihak pengurusan Kumpulan Pelaburan MARA dalam majlis di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Serahan sumbangan korporat dan zakat perniagaan kepada setiap wakil penerima itu disampaikan oleh Pengerusi Kumpulan Pelaburan MARA, Datuk Mohamad Razali Mohamad Rahim.

Hadir sama ke majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA, Mahdzir Othman.

Sementara itu, Mohamad Razali berkata, majlis iftar itu antara pengisian program yang dirancang sempena meraikan ulang tahun ke-60 MARA pada 1 Mac lalu.

“Sememangnya angka 60 ini bukan sekadar nombor, tetapi ia melambangkan komitmen berterusan MARA dalam menerajui bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan untuk penguasaan ekuiti bumiputera selama enam dekad.

“Atas tujuan sama, Kumpulan Pelaburan MARA akan berterusan menyokong agenda dan aspirasi MARA untuk mengangkat martabat bangsa dan negara,” katanya dalam satu kenyaatan.

Tambah Mohamad Razali, Kumpulan Pelaburan MARA juga sentiasa komited dan cakna dalam melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan.

Jelasnya, ia termasuk membantu dalam memfokuskan kepada pembangunan keharmonian komuniti, memperkasakan ilmu pengetahuan serta usaha memelihara dan memulihara alam sekitar.

“Sebagai syarikat korporat di bawah naungan MARA Corporation, Kumpulan Pelaburan MARA juga komited dalam membantu agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam sebarang aktiviti yang boleh dilaksanakan untuk mencapai objektif bersama,”  ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast