Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing.

PUTRAJAYA – Tahap kesalinghubungan udara Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif pada tahun 2025 apabila sebanyak 169,877 penerbangan antarabangsa direkodkan dengan kapasiti lebih 34.2 juta tempat duduk, menyokong peningkatan ketibaan pelancong asing ke negara ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, rangkaian penerbangan yang kukuh dan boleh dipercayai merupakan tulang belakang kepada pertumbuhan industri pelancongan negara.

Menurutnya, peningkatan jumlah penerbangan dan kapasiti tempat duduk itu menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada lonjakan pelawat antarabangsa ke Malaysia tahun lalu.

“Sepanjang 2025, Malaysia mengendalikan 169,877 penerbangan antarabangsa dengan lebih 34.2 juta tempat duduk ditawarkan, sekaligus membantu menyokong pertumbuhan sektor pelancongan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 89 laluan penerbangan baharu diwujudkan melibatkan 59 laluan berjadual dan 30 laluan charter, yang menghubungkan Malaysia dengan 23 negara dan wilayah.

Menurutnya, China mencatat jumlah laluan baharu tertinggi diikuti Indonesia dan Singapura.

King Sing berkata, laluan baharu itu turut memberi manfaat kepada 11 lapangan terbang di seluruh negara, dengan Lembah Klang kekal sebagai hab utama apabila sebanyak 44 laluan berjadual baharu dilancarkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Sementara itu, Sabah mencatat manfaat terbesar bagi penerbangan charter apabila sebanyak 13 laluan baharu dilancarkan ke Kota Kinabalu dan Tawau.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 92 syarikat penerbangan mengendalikan penerbangan antarabangsa ke Malaysia pada tahun lalu, melibatkan 86 syarikat penerbangan asing dan enam syarikat penerbangan tempatan.

Menurutnya, dalam kalangan syarikat penerbangan asing, AirAsia Indonesia  mencatat jumlah penerbangan tertinggi ke Malaysia dengan 7,331 penerbangan dan 1.32 juta tempat duduk.

Ia diikuti Scoot dan Singapore Airlines yang secara bersama mengendalikan lebih 10,000 penerbangan terus dengan kapasiti melebihi 2.05 juta tempat duduk.

Tambahnya, syarikat penerbangan dari China turut meningkatkan kapasiti operasi mereka, termasuk China Southern Airlines dengan 4,312 penerbangan, kumpulan China Eastern Airlines sebanyak 4,044 penerbangan, serta Xiamen Airlines dengan 2,127 penerbangan.

Selain itu, beberapa syarikat penerbangan antarabangsa lain turut menyumbang kapasiti besar ke Malaysia termasuk Emirates, Cathay Pacific, Turkish Airlines, Thai AirAsia dan Qatar Airways yang masing-masing menyediakan lebih 300,000 tempat duduk.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada syarikat penerbangan tempatan yang terus memainkan peranan penting dalam menyokong pelancongan negara.

Menurutnya, AirAsia, Malaysia Airlines dan Batik Air masing-masing mengendalikan lebih 10,000 penerbangan ke Malaysia tahun lalu, manakala AirAsia X menyediakan lebih 2.28 juta tempat duduk, diikuti Firefly dengan sekitar 370,000 tempat duduk serta SKS Airways. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast