JOHOR BAHRU – Kerajaan perlu mengambil langkah fiskal yang benar-benar konkrit untuk menggerakkan ekonomi atau melindungi rakyat daripada kesan kenaikan kos hidup susulan kenaikan harga minyak.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman berkata, meskipun kenaikan harga minyak berpunca daripada faktor global, namun cara kerajaan mengurus kesannya adalah tanggungjawab nasional.
Menurutnya, kenaikan itu akan segera memberi kesan kepada peningkatan kos pengangkutan yang akhirnya mendorong kenaikan harga barangan makanan dan keperluan harian rakyat.
“Jika tidak ditangani dengan segera dan berkesan, keadaan ini akan terus menekan kos sara hidup rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, Pejuang Johor berpandangan kerajaan tidak boleh sekadar membuat pengumuman besar seperti yang dilakukan pada 11 Mac lalu, yang digambarkan seolah-olah membawa penyelesaian menyeluruh.
Hakikatnya, kata beliau, pengumuman tersebut lebih menyerupai laporan status semasa tanpa sebarang tindakan sewajarnya, sedangkan dalam situasi yang semakin mencabar kini, rakyat memerlukan tindakan yang jelas dan berkesan, bukan sekadar pengumuman yang bersifat kosmetik.
Ujarnya, meskipun mengakui program Budi95 serta pelaksanaan subsidi diesel melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban fiskal kerajaan, namun perkara itu tidak boleh dijadikan alasan untuk kerajaan berdiam diri tanpa pelan mitigasi yang jelas bagi memantau serta mengawal kenaikan harga barangan makanan di pasaran.
“Penjimatan fiskal daripada dasar itu seharusnya diterjemahkan kepada kestabilan harga makanan dan perlindungan kos sara hidup rakyat, bukan sekadar angka dalam laporan kewangan kerajaan,” katanya.
Menurutnya, kerajaan juga perlu memastikan bekalan makanan asas sentiasa mencukupi dan melakukan pemeriksaan berkala di gudang bagi membanteras aktiviti sorok barang yang boleh mencetuskan kenaikan harga.
Selain itu, ujarnya, mekanisme kawalan harga sementara bagi barangan asas seperti beras, minyak masak, gula dan keperluan asas lain juga perlu diwujudkan, termasuk menetapkan kadar kenaikan harga yang dibenarkan akibat peningkatan kos pengangkutan.
Dalam masa sama, tambah Suraya, kerajaan perlu menubuhkan pasukan khas atau di peringkat nasional dan negeri bagi merangka pelan kawalan harga jangka pendek serta jangka panjang supaya tindakan dapat diambil lebih awal sebelum keadaan menjadi lebih parah.
Tambahnya, sekiranya perlu, subsidi diesel juga wajar diperluaskan bagi memastikan sektor pengangkutan awam dan logistik tidak menanggung beban kos yang akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna.
“Setiap pengumuman di peringkat nasional juga harus disertakan dengan penjelasan langkah konkrit yang benar-benar memberi kesan kepada rakyat, bukannya sekadar menyampaikan angka kenaikan atau laporan keadaan semasa.
“Program Budi95 mungkin membantu kerajaan dari sudut fiskal, tetapi rakyat tetap merasai kesan langsung melalui kenaikan harga makanan dan barangan harian,” katanya.
Sehubungan itu, tambah beliau, kerajaan tidak boleh sekadar memberi penjelasan atau alasan, sebaliknya perlu bertindak segera dengan langkah yang nyata dan berkesan agar rakyat tidak terus menjadi mangsa senyap kepada kenaikan kos sara hidup. – MalaysiaGazette
















