Tangkap layar video tular di media sosial memaparkan dua kumpulan penunggang motosikal terlibat dalam pergaduhan di tepi jalan dengan menggunakan topi keledar pada waktu umat Islam sedang bersahur kira-kira pukul 4 pagi tadi.

MELAKA – Tular di media sosial dua klip video memaparkan dua kumpulan penunggang motosikal terlibat dalam pergaduhan di tepi jalan dengan menggunakan topi keledar pada waktu umat Islam sedang bersahur kira-kira pukul 4 pagi tadi.

Kejadian itu dipercayai berlaku di kawasan Paya Luboh, Tangga Batu dekat sini, dan rakaman berkenaan mula tersebar sejak pagi tadi.

Dalam satu klip berdurasi satu minit 21 saat, seorang lelaki dilihat memukul kepala lelaki lain menggunakan topi keledar menyebabkan mangsa terbaring di jalan raya sebelum di pukul pula oleh seorang lelaki lain menggunakan senjata sama.

Beberapa lagi penunggang motosikal turut dilihat saling memukul antara satu sama lain dipercayai melibatkan dua kumpulan motosikal.

Tangkap layar video tular di media sosial memaparkan dua kumpulan penunggang motosikal terlibat dalam pergaduhan di tepi jalan dengan menggunakan topi keledar pada waktu umat Islam sedang bersahur kira-kira pukul 4 pagi tadi.

Terdapat juga beberapa penunggang motosikal lain cuba mengawal keadaaan bagi mengelakkan pergaduhan lebih besar, namun keadaan sukar dikawal.

Difahamkan, kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati antara dua kumpulan berkenaan apabila salah seorang mereka dituduh terlibat dalam kes curi motosikal.

Video berkenaan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang mempersoalkan punca kejadian dan insiden yang tidak sepatutnya berlaku di bulan puasa.

Setakat ini, pihak polis hanya mengesahkan kes sedang disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka dan masih mendapatkan perincian lanjut mengenai kes terbabit. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast