Barisan pemain Harimau Malaya.

KUALA LUMPUR – Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) bersedia mengambil tindakan sekiranya keputusan Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memihak kepada Malaysia.

Menurut laporan portal TheThao247, VFF boleh mengemukakan petisyen rasmi kepada AFC dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) jika keputusan itu berlaku.

Situasi itu timbul susulan kes membabitkan tujuh pemain negara dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang kini dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin AFC, selepas keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap rayuan dikemukakan pemain terbabit.

“Seorang pemimpin VFF berpendapat bahawa keputusan AFC boleh memberi impak signifikan kepada kedudukan Kumpulan F.

“Jika Malaysia dipotong mata atau tidak dapat menggunakan pemain naturalisasi akibat hukuman disiplin, percaturan taktikal dan senarai pemain bagi pasukan dalam kumpulan tersebut mungkin akan berubah,” menurut laporan itu.

Sebelum ini, CAS mengekalkan hukuman penggantungan selama 12 bulan yang dikenakan ke atas tujuh pemain negara.

Walaupun tidak dibenarkan menyertai perlawanan rasmi, pemain berkenaan masih dibenarkan menjalani latihan dan aktiviti bola sepak bersama pasukan masing-masing.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John memaklumkan bahawa dua kod disiplin akan digunakan bagi kes itu iaitu Artikel 25 dan 56 Kod Etika dan Disiplin AFC.

Beliau menegaskan FAM tidak akan berdepan penggantungan daripada AFC kerana dua kod disiplin berkenaan tidak mengandungi klausa penggantungan. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast