Aminolhuda dan Mohd Azam bersama-sama penduduk di pintu masuk Kampung Baru di Sri Gading, Batu Pahat, malam tadi.

BATU PAHAT – Gerbang Pelita Mada memeriahkan kedatangan malam tujuh likur dan Syawal apabila 2,600 pelita yang dipasang di atas replika masjid dan pintu masuk Kampung Baru di Sri Gading di sini.

Penduduk kampung melakukan gotong-royong membangunkannya sejak kira-kira lima bulan lalu dan inisiatif itu selepas dua tahun tiada hiasan serupa setelah kali pertama diadakan pada 2020.

Ketua Gerbang Pelita, Mohd Azam Isnin, 50, berkata, walaupun berdepan kesukaran untuk mereka cipta bentuk replika masjid  namun hasil daripada buah fikiran penduduk sama ada daripada peringkat belia hingga golongan orang lama di kampung itu akhirnya menjadi kenyataan.

“Replika yang dibentuk daripada besi ini dijangka akan dapat digunakan dalam tempoh lama berbanding binaan sebelum ini hanya menggunakan kayu terbuang menyebabkannya mudah reput dan rosak.

“Penggunaan pelita adalah sebagai simbolik kepada cara orang-orang terdahulu untuk menyambut kedatangan malam tujuh likur walaupun kebanyakan kampung kini lebih gemar menggunakan cara moden iaitu lampu letrik atau solar sebagai penghias pintu masuk kampung,” katanya ketika ditemui malam tadi.

Menurutnya, penggunaan pelita juga sebagai usaha untuk memberikan pengetahuan kepada generasi masa kini bahawa itu adalah cara orang-orang terdahulu menyambut kedatangan malam tujuh likur dan perlu dikekalkan pada masa akan datang agar tidak pupus.

Walaupun memerlukan kos yang agak tinggi, kepuasan terpancar pada masyarakat kampung tersebut apabila perancangan menghidupkan semula adat resam terdahulu dapat dilaksanakan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan berkata, pihaknya kagum dengan semangat golongan belia di kampung berkaan dalam usaha memeriahkan sambutan Syawal tahun ini.

“Semangat seperti ini harus dijadikan contoh kepada semua, apa sahaja perancangan yang ingin dilakukan apabila dilakukan dengan semangat perpaduan dan kerjasama ia pasti akan membuahkan kejayaan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast