Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bercakap pada Sidang Media Ketua Polis Negara di IPD Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 16 MAC 2026

PUTRAJAYA – Polis mengesahkan telah menjalankan pemeriksaan ke atas beberapa premis milik seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Victor Chin susulan dakwaan kegiatan ‘mafia korporat’ yang dikaitkan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malasyia (SPRM).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan tersebut sedang dijalankan oleh pasukan petugas khas  Anti- Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Kita dalam proses siasatan. Memang betul, siasatan diteruskan di bawah AMLA dan tindakan telah kita ambil tindakan di beberapa premis yang berkaitan dengan Victor Chin.

“Jadi perkara ini masih lagi dalam siasatan dan jika diperlukan nanti, saya akan panggil untuk sidang media seterusnya,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Terdahulu media melaporkan, polis bersama pegawai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah menyerbu kediaman serta beberapa premis lain milik Chin selain menyita beberapa kenderaan milik syarikatnya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sebelum itu memaklumkan Kabinet telah mengarahkan polis serta beberapa agensi penguat kuasa lain termasuk SPRM untuk menyiasat dakwaan manipulasi korporat berkenaan.

Arahan tersebut dibuat susulan gesaan pelbagai pihak termasuk beberapa menteri kanan kerajaan supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan yang dilaporkan oleh Bloomberg bulan lalu.

Laporan itu mendakwa sekumpulan ahli perniagaan yang digelar ‘mafia korporat’ termasuk Chin bekerjasama dengan pegawai SPRM untuk menakut-nakutkan pengasas syarikat dan dalam beberapa kes mendakwa mereka di mahkamah bagi menyingkirkan mereka daripada syarikat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast