Seorang anggota tentera wanita dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas kesalahan amang seksual anak lelakinya sendiri, dua tahun lalu.

MELAKA – Seorang anggota tentera wanita dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah menghisap kemaluan anak lelakinya sendiri, dua tahun lalu.

Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menjatuhi hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh berusia 44 tahun sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai hubungan amanah, iaitu ibu kandung dengan sengaja telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun.

Ia dilakukan dengan cara menghisap kemaluan kanak-kanak itu bagi tujuan seksual dalam sebuah rumah beralamat di Taman Peruna, Sungai Udang, daerah Melaka tengah di sini, kira-kira jam 10.30 malam pada hujung Disember 2024.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Seksyen 14(a) memperuntuk hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebat manakala di bawah Seksyen 16(1), penjara maksimum lima tahun dan hendaklah dikenakan sebat tidak kurang dua sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin mencadangkan hukuman setimpal terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Tertuduh yang juga ibu tunggal bagaimanapun dalam rayuannya memohon dikenakan penjara yang singkat kerana perlu menyara kesemua tiga anaknya selepas selesai menjalani hukuman.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman tujuh tahun penjara bermula tarikh dia ditangkap pada 3 Mac lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast