KUALA LUMPUR – Pemerhati politik dan pakar undang-undang kini menyuarakan kebimbangan terhadap trend penggunaan undang-undang anti-rasuah oleh Kerajaan Indonesia yang didakwa menyasar ahli perniagaan berjaya atas motif politik.
Corak ini dilihat sebagai peralihan ke arah “kapitalisme diterajui negara” yang mana instrumen perundangan digunakan untuk memilih pihak yang menyokong agenda kerajaan, manakala pihak dianggap lawan dipinggirkan.
Pemerhati Ekonomi Asean, Farez Izzudin berkata, langkah agresif ini dipercayai berpunca daripada tindak balas elit politik terhadap protes besar-besaran tahun lalu.
“Pihak berkuasa mendakwa demonstrasi tersebut dirancang oleh sektor perniagaan yang tidak berpuas hati dengan percubaan kerajaan untuk mengagihkan semula kuasa ekonomi.
“Presiden Prabowo Subianto menegaskan kepentingan melindungi kekayaan negara. Sesebuah negara tidak dapat bertahan jika kekayaannya terus mengalir ke luar negara.
“Jika ini berterusan, kita berisiko menjadi negara gagal,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Sebelum ini, penganalisis mempersoalkan mengapa modal domestik terus mengalir keluar dari ekonomi terbesar di Asia Tenggara ini.
Sarjana undang-undang, Royhan Akbar dan Sulistiowati memberi amaran penyalahgunaan instrumen undang-undang demi populariti populis atau dendam politik tanpa akauntabiliti yang jelas akan menjejaskan imej negara.
Pemerhati politik, Rocky Gerung pula menyifatkan hubungan antara kerajaan dan tokoh korporat kini sebagai interaksi “oligarki” yang meletakkan ahli perniagaan di pihak yang terancam.
Selain itu, Farez juga berkata, tindakan undang-undang kini tertumpu kepada sektor produktif termasuk sumber asli seperti minyak sawit, perlombongan dan gula.
“Sektor tenaga dan infrastruktur juga terkesan dengan tindakan undang-undang itu melibatkan rampasan berjuta hektar ladang dan lombong didakwa beroperasi secara haram,” katanya.
Menurut Farez, beberapa tokoh korporat terkemuka seperti Surya Darmadi, Robert Budi Hartono serta eksekutif daripada Wilmar International dan PT Tinindo Inter Nusa (TIN) dilaporkan sedang berada di bawah penelitian undang-undang.
“Kes berprofil tinggi turut melibatkan bekas tokoh minyak, Riza Chalid dan anaknya, Kerry Riza, berkaitan siasatan rasuah dalam firma tenaga milik negara, Pertamina,” katanya.
Dalam pada itu, isu tersebut kini menjadi semakin kompleks apabila terdapat perbezaan dalam pemberian pengampunan presiden.
“Ogos lalu, Presiden Prabowo mengampuni bekas Menteri Perdagangan, Thomas Lembong dan Hasto Kristiyanto sejurus selepas sabitan kes rasuah mereka.
“Langkah serupa diambil pada November lalu melalui dekri pemulihan penuh kepada bekas eksekutif ASDP Indonesia Ferry, termasuk Ibu Ira Puspawati.
“Namun, ramai lagi tokoh korporat lain masih belum mendapat pelepasan yang sama, mencetuskan persepsi wujudnya pendakwaan bermotifkan politik,” katanya.
Sementara itu, kata Farez, kebimbangan utama kini terarah kepada pembentukan Danantara (dana kekayaan negara) dan konsep Patriot Bonds.
Katanya lagi, inisiatif ini dilihat sebagai usaha kerajaan untuk mengambil alih konglomerat utama bagi membiayai projek strategik seperti program makanan percuma dan perumahan kos rendah.
“Pakar ekonomi memberi amaran peralihan sumber secara paksa ke arah projek tidak mampan secara fiskal tanpa sokongan infrastruktur makroekonomi kukuh boleh memudaratkan kestabilan jangka panjang Indonesia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















