Datuk Fahmi Fadzil.

KUALA LUMPUR – Perincian pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor awam akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) selepas Aidilfitri.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, laporan awal berkaitan pelaksaanan itu yang disediakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz telah diserahkan kepada Menteri Kabinet.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi menjelaskan, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agar cadangan berkenaan diperincikan sebelum keputusan dimuktamadkan kerajaan.

“Perdana Menteri telah meminta supaya Ketua Setiausaha Negara membentangkan dengan lebih penuh dalam mesyuarat MTEN yang akan datang selepas Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet di kementerian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi memberitahu, pelaksanaan BDR akan memberi fokus kepada sektor awam memandangkan jumlah penjawat awam yang besar dan signifikan.

Namun kata beliau, pelaksanaan BDR tidak akan melibatkan sektor pendidikan serta sektor kesihatan yang bersifat barisan hadapan.

Tambahnya, sektor swasta pula tidak dihalang untuk melaksanakan dasar bekerja dari rumah sekiranya mempunyai keupayaan namun ia tidak tertakluk kepada penyelarasan kerajaan.

“Bagi sektor swasta memang ada syarikat sejak pandemik mengamalkan dasar bekerja dari rumah dan ia tidak dihalang sekiranya mereka merasakan ada keperluan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast