Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dilantik sebagai Pengerusi U Mobile Sdn Bhd yang baharu, berkuat kuasa 13 Mac 2026.

Ia susulan peletakan jawatan Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun daripada jawatannya sebagai pengerusi berkuat kuasa pada penutupan operasi perniagaan pada 12 Mac 2026.

U Mobile dalam kenyataannya hari ini berkata, Vincent akan mengambil alih peranan sebagai pengasas dan penasihat kepada lembaga pengarah seterusnya memberikan panduan serta menyokong pertumbuhan syarikat.

Menurut Vincent, perubahan terkini dalam bilik lembaga U Mobile mencerminkan komitmen syarikat untuk membangunkan infrastruktur digital yang boleh dipercayai, berskala dan dilaksanakan mengikut jadual.

“Fokus kami adalah untuk memperkukuh tadbir urus serta sokongan pembiayaan jangka panjang, supaya pasukan pengurusan dapat mempercepatkan pelaksanaan dan memenuhi jangkaan liputan yang ditetapkan bagi rangkaian Kedua Generasi Kelima (5G) negara.

“Saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa U Mobile telah menunjukkan kemajuan yang baik dan berada di hadapan jadual pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata Tunku Aminah membawa pengalaman luas dalam kepimpinan dan tadbir urus, setelah menerajui organisasi swasta merentasi pelbagai industri serta berkhidmat dalam lembaga pengarah beberapa syarikat tersenarai awam dan syarikat swasta.

Pelantikan beliau dibuat ketika Mawar Setia Sdn Bhd meningkatkan pegangan ekuitinya dalam U Mobile kepada lebih 50 peratus selepas selesai urus niaga penjualan saham dengan Singapore Technologies Telemedia Pte Ltd (STT).

Mawar Setia ialah sebuah syarikat pegangan pelaburan Malaysia yang diasaskan oleh Tan dan Tunku Aminah. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast