LONDON – Dua kematian dilaporkan di Kent, England – seorang penuntut universiti dan seorang pelajar sekolah akibat wabak meningitis yang dikaitkan dengan sebuah kelab malam.
Kedua-dua mangsa berusia 21 dan 18 tahun, kata Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA).
Menurutnya, sekurang-kurangnya 11 lagi dimasukkan ke hospital, dan wabak ini disyaki tersebar di Club Chemistry, sebuah kelab malam tiga tingkat yang besar di bandar Canterbury.
Agensi keselamatan kesihatan mengesahkam”sebahagian kes kini dikenal pasti sebagai kumpulan B”, sejenis bakteria yang lebih jarang dan lebih mematikan berbanding jenis virus.
Meningitis B menyebabkan kematian dalam kira-kira satu daripada 10 kes, menurut Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS).
Penyakit meningitis menyerang membran pelindung di sekeliling otak dan saraf tunjang, dan paling kerap berlaku pada kanak-kanak kecil, remaja, dan orang muda.
Tumpuan langkah kesihatan awam kini pada University of Kent, yang mempunyai kira-kira 18,000 pelajar, termasuk beberapa yang dimasukkan ke hospital akibat meningitis.
Universiti itu telah mengadakan klinik untuk memberi antibiotik pada hari Selasa.
UKHSA turut menggesa sesiapa yang menghadiri kelab malam di Canterbury antara 5 hingga 7 Mac untuk mengambil antibiotik pencegahan.
Agensi kesihatan itu kini berdepan kritikan kerana didakwa lambat memaklumkan orang ramai mengenai wabak tersebut, dengan pengumuman kematian pertama dibuat pada Ahad, dua hari selepas kes dilaporkan.
Timbalan Ketua UKHSA, Gyatri Amirthalingam menegaskan, agensi itu telah mengambil “tindakan segera” untuk mengenal pasti dan memaklumkan kontak rapat mereka yang dijangkiti.
“Dalam respons kesihatan awam, saya percaya tiada kelewatan berlaku,” katanya.
Club Chemistry memaklumkan di Instagram salah seorang kakitangannya sedang dirawat akibat meningitis dan kelab itu ditutup sebagai langkah berjaga-jaga. – Agensi
















