KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan pendakwah bebas, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu diikat jamin sebanyak RM4,500 selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang berpotensi menimbulkan kegentaran awam.
Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan dalam prosiding hari ini.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Zamri Vinoth atau lebih dikenali sebagai Zamri Vinoth didakwa membuat kenyataan melalui akaun Facebook miliknya “Zamri Vinoth” pada 3 Februari 2026 kira-kira pukul 12.22 tengah hari.
Kenyataan yang dimuat naik pada pautan https://www.facebook.com/share/p/18A4DF39u5/?mibextid=wwXIfr itu didakwa telah dilihat dan didengar oleh seorang individu, Thiyagaraj Sankaranarayanan, di Restoran Nasi Kandar Kudu, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.
Pihak pendakwaan mendakwa kenyataan tersebut berkemungkinan menimbulkan kegentaran awam sehingga boleh mendorong mana-mana individu melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Sehubungan itu, Zamri Vinoth didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, peguam Muhammad Hariz Md Yusof yang mewakili Zamri Vinoth berhujah bahawa tujuan jaminan adalah semata-mata untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah dan bukannya bersifat menghukum.
Beliau turut memaklumkan anak guamnya hadir secara sukarela untuk menghadapi pertuduhan dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
Muhammad Hariz juga menafikan dakwaan bahawa Zamri Vinoth melarikan diri ke Thailand seperti yang dinyatakan dalam kenyataan media Ketua Polis Negara pada 13 Mac lalu.
Sebaliknya, beliau mengemukakan rekod perjalanan yang menunjukkan Zamri Vinoth memasuki Thailand melalui Sadao di wilayah Songkhla pada 9 Mac lalu, sebelum keluar semula pada 12 Mac, sehari sebelum kenyataan tersebut dikeluarkan.
Menurutnya, perkara itu menunjukkan tertuduh tidak berniat melarikan diri dan telah kembali ke Malaysia melalui laluan sah.
Tambah beliau, Zamri Vinoth juga tidak pernah menerima sebarang notis di bawah Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah yang mewajibkannya hadir kepada polis atau melarangnya keluar negara.
Muhammad Hariz turut memohon mahkamah mengambil kira faktor peribadi tertuduh yang mempunyai lapan tanggungan, termasuk lima anak yang masih bersekolah.
Selain itu, isterinya yang mempunyai sejarah penyakit Covid-19 serta kedua-dua ibu bapanya di Seremban, Negeri Sembilan yang turut berada di bawah tanggungannya.
Menurut beliau, anak guamnya juga mempunyai urusan perniagaan di Thailand dan kerap berulang-alik ke negara itu sejak sekitar 2017, termasuk terlibat dalam perniagaan pakaian terpakai atau “bundle”.
Sehubungan itu, pihak pembelaan memohon mahkamah menetapkan jaminan pada kadar minimum memandangkan Zamri Vinoth merupakan penyara tunggal keluarga.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Nordin Ismail mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dengan alasan jumlah tersebut adalah munasabah dan tidak membebankan tertuduh.
Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat kira-kira 100 laporan polis dibuat sehingga 3 Februari lalu, yang dikaitkan dengan kenyataan tertuduh yang didakwa berpotensi menimbulkan kegentaran awam.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Faezahnoor Hassan kemudian membenarkan Zamri Vinoth diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin. – MalaysiaGazette















