Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan dengan tokoh ekonomi dan pemikir terkemuka dunia, Profesor Jeffrey D Sachs dari Columbia University. Foto Facebook Anwar Ibrahim

FORUM Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri kesembilan yang berlangsung di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Putrajaya, baru-baru ini muncul sebagai antara wacana dasar yang paling merangsang pemikiran dan paling terbuka pernah dianjurkan di Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Forum tersebut dikendalikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan menampilkan ahli ekonomi serta intelektual awam terkemuka dunia, Profesor Jeffrey D. Sachs sebagai panelis utama.

Tema forum tersebut — “Strategies for Malaysia and ASEAN in an Era of Global Instability” — mencerminkan kegelisahan besar yang sedang melanda dunia hari ini: persaingan geopolitik yang semakin memuncak, kerapuhan sistem ekonomi global serta perubahan teknologi yang berlaku dengan begitu pantas dan mengganggu struktur masyarakat.

Apa yang berlangsung di Dewan Za’ba pada petang itu bukan sekadar dialog dasar biasa, tetapi suatu pertukaran pemikiran yang jarang berlaku, dicirikan oleh kejujuran, keberanian moral dan renungan mendalam terhadap keadaan sistem antarabangsa masa kini.

Forum tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh tuan rumah, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, yang menekankan kepentingan wacana intelektual yang berterusan antara para sarjana dan pembuat dasar dalam menghadapi persekitaran global yang semakin tidak menentu.

Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa FIM diwujudkan sebagai sebuah platform untuk memperkukuh tradisi keilmuan melalui perbincangan mendalam mengenai persoalan-persoalan kompleks yang sedang membentuk dunia masa kini.

Beliau turut menyatakan bahawa dunia sedang mengalami perubahan besar yang didorong oleh ketegangan geopolitik, tekanan ekonomi dan gangguan teknologi.

Seperti yang dinyatakannya: “FIM menghimpunkan para sarjana, pembuat dasar dan pemikir untuk merenung persoalan yang membentuk zaman kita, dan hari ini kita bertemu pada saat persekitaran global menjadi semakin tidak menentu.”

Beliau menegaskan bahawa perkembangan ini menimbulkan persoalan strategik yang penting bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga kepada seluruh rantau Asia Tenggara: “Perkembangan ini menimbulkan persoalan penting kepada Malaysia dan rantau kita: Bagaimana kita harus bertindak dalam era ketidakstabilan global? Bagaimana ASEAN boleh mengemudi perubahan ini dengan jelas dan penuh keyakinan?”

Beliau kemudian mengalu-alukan kehadiran Profesor Sachs sebagai tokoh terkemuka dunia yang sumbangan intelektualnya telah membentuk perbincangan global mengenai pembangunan mampan, pembasmian kemiskinan dan tadbir urus ekonomi antarabangsa.

“Untuk membincangkan persoalan-persoalan ini, kami amat berbesar hati untuk mengalu-alukan Profesor Sachs ke FIM. Profesor Sachs diiktiraf secara meluas sebagai antara ahli ekonomi dan intelektual awam paling berpengaruh di dunia melalui puluhan tahun penyelidikan dan penglibatan dasar yang telah membentuk perbincangan global mengenai pembangunan mampan, pembasmian kemiskinan, tadbir urus ekonomi global dan kerjasama antarabangsa.”

Ucapan tersebut membuka tirai kepada satu perbincangan yang sangat terus terang dan sarat dengan pemikiran mendalam mengenai keadaan dunia serta tanggungjawab kepimpinan politik.

Perdana Menteri yang bertindak sebagai moderator memulakan dialog dengan renungan yang tegas mengenai perang yang sedang berlaku di Asia Barat.

Beliau menggambarkan konflik tersebut sebagai perang yang dikenakan ke atas sebuah negara berdaulat dan memberi amaran bahawa pencerobohan terhadap Iran telah pun mencetuskan implikasi geopolitik dan ekonomi yang serius jauh melangkaui rantau tersebut.

Perdana Menteri mengecam keganasan yang berlaku dan menegaskan keperluan untuk melaksanakan undang-undang antarabangsa secara konsisten.

Beliau memberi peringatan bahawa apabila prinsip-prinsip tersebut digunakan secara terpilih, ia akan kehilangan kewibawaannya dan seterusnya menjejaskan kredibiliti keseluruhan sistem antarabangsa. Malaysia, tegas beliau, akan terus berdiri teguh mempertahankan keadilan, maruah kemanusiaan dan kedaulatan undang-undang.

Profesor Sachs kemudiannya memberikan respons yang amat terus terang dan tanpa kompromi. Beliau secara terbuka mengkritik pencerobohan yang dilakukan oleh Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran, sambil menegaskan bahawa tindakan tersebut sama sekali tidak mempunyai asas, mengancam kestabilan global dan berpotensi mencetuskan krisis ekonomi yang lebih luas.

Menurut beliau, perang tersebut sebenarnya boleh dihentikan sekiranya negara-negara utama dunia secara bersama menyatakan bahawa tindakan pencerobohan tersebut melanggar undang-undang antarabangsa.

Beliau juga melahirkan rasa kesal terhadap sikap berdiam diri banyak kerajaan, termasuk beberapa negara Arab, yang menurutnya gagal mengutuk tindakan pencerobohan asal, sebaliknya lebih cenderung mengkritik tindakan balas Iran terhadap pangkalan tentera Amerika Syarikat di wilayah mereka.

Keengganan untuk menyatakan kebenaran ini, menurut beliau, mencerminkan budaya ketakutan dan kebergantungan geopolitik yang semakin menebal dalam politik antarabangsa.

Dalam pandangan Profesor Sachs juga, sesuatu yang amat membimbangkan ialah ketidakupayaan institusi global seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengekang kuasa-kuasa besar.

Sistem antarabangsa sering menjadi lumpuh apabila pakatan geopolitik menghalang kecaman yang jujur terhadap sesuatu kesalahan.

Namun demikian, di sebalik kritikan tajam beliau terhadap politik kuasa dunia, aspek yang paling menonjol dalam ucapan Profesor Sachs ialah pujian luar biasa yang beliau berikan kepada Malaysia dan kepimpinannya.

Berpaling kepada Perdana Menteri, Profesor Sachs menyatakan kekagumannya yang mendalam terhadap keberanian dan kejelasan moral yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim: “Mr Prime Minister, thank you for those important, clear, trenchant and truthful words, for which we are all extraordinarily grateful. If more world leaders spoke as you do, we would have peace.

Beliau turut menegaskan betapa jarangnya kejujuran sebegitu dalam politik antarabangsa hari ini: “This is our greatest challenge: We have such a hard time speaking the truth in the world today. It seems that brutal power makes it very, very difficult even for leaders of countries to speak with the clarity and honesty that the Prime Minister has just demonstrated.

Kenyataan tersebut membawa makna yang besar memandangkan ia datang daripada seorang sarjana yang dihormati di peringkat antarabangsa dan telah berpuluh tahun menasihati kerajaan serta organisasi global.

Profesor Sachs juga menyatakan kekaguman yang mendalam terhadap budaya intelektual Malaysia serta kesediaan kepimpinan negara untuk menganjurkan forum terbuka yang menghimpunkan sarjana, pembuat dasar dan pemimpin masyarakat sivil bagi bertukar-tukar pandangan secara bebas.

Let me say what an honour it is to be here… It is deeply inspiring that Malaysia is hosting events like this where intellectual discourse and open discussion can take place among government leaders, civil society leaders and public officials to exchange ideas and brainstorm solutions. Nothing could be more important or more inspiring.

Dalam perbandingan yang sangat ketara, beliau menggambarkan keadaan yang semakin terpisah dan terkekang dalam persekitaran intelektual di negaranya sendiri: “In my country we do not have this. We no longer have meaningful discourse or discussion. Instead we communicate through social media posts and that is about it. If you say anything contrary, it is not so simple. Universities get their budgets slashed and retribution comes swiftly. It is a very brutal environment.”

Mendengar kata-kata tersebut di dalam dewan, saya merasa amat terharu. Sebagai seorang Naib Canselor, mendengar pujian yang begitu tinggi terhadap budaya intelektual dan kepimpinan Malaysia daripada seorang sarjana bertaraf dunia seperti Profesor Sachs merupakan sesuatu yang amat membanggakan dan memberi inspirasi.

Kata-kata beliau jelas mencerminkan pengiktirafan yang tulus terhadap keterbukaan intelektual serta budaya wacana ilmiah yang serius yang sedang diusahakan oleh Malaysia melalui inisiatif seperti FIM.

Kejayaan ini terhasil daripada visi dan komitmen Perdana Menteri serta Menteri Pendidikan Tinggi yang secara konsisten menekankan kepentingan dialog keilmuan dalam membentuk pemikiran dasar negara dan rantau ini.

Bukan setiap hari seorang sarjana global yang sangat dihormati berbicara dengan begitu jujur dan penuh penghargaan tentang negara kita.

Pengiktirafan sebegini di pentas antarabangsa bukan sahaja sesuatu yang jarang berlaku, malah amat bermakna kerana ia mencerminkan penghormatan yang semakin meninggi terhadap peranan Malaysia sebagai sebuah pusat wacana intelektual dan kepimpinan yang berprinsip.

Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed ialah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast