MELAKA – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakannya selepas waktu berbuka puasa dalam kejadian di Sungai Udang, minggu lalu.
Tertuduh, Saiful Hadi Othman, 44, bagaimanapun hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Tiada pengakuan direkodkan oleh pembantu kedai makan itu yang juga seorang duda kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kematian Muhamad Hanafi Yusof, 25 antara jam 7.58 malam hingga 8.15 malam pada 11 Mac 2026.
Kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh itu dilakukan sebuah rumah beralamat No. 128-1, Jalan Mohd Akhir, Batu 12, Sungai Udang, dalam daerah Melaka Tengah.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif manakala tertuduh tidak diwakili peguam
Mahkamah kemudian menetapkan 29 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.
Pada 11 Mac lalu, MalahysiaGazette melaporkan seorang lelaki maut selepas dipercayai ditikam bertubi-tubi dengan sekurang-kurangnya tiga kesan tikaman di dada kiri menggunakan parang oleh rakannya.
Kejadian pada kira-kira jam 8 malam itu dipercayai berpunca apabila suspek mengesyaki telefon bimbitnya yang dipinjamkan kepada rakannya itu dijual untuk membeli dadah.
Selepas kejadian, abang mangsa yang berada di rumah tersebut cuba mengejar suspek, namun lelaki itu melarikan diri kira-kira 300 meter dan masuk ke dalam sebuah kereta milik orang awam untuk bersembunyi sebelum berjaya ditangkap. – MalaysiaGazette
















