Oleh: Dr Ahamad Jama’ Amin Yang
JIKA dunia selepas Perang Dunia Kedua pernah berada di bawah bayangan Pax Americana, dunia hari ini kelihatan semakin keluar daripada bayangan tersebut. Perang Ukraine mencabar keseimbangan kuasa di Eurasia, konflik Gaza menguji kredibiliti moral Barat, manakala ketegangan antara Iran dan Israel membuka kemungkinan konfrontasi serantau yang lebih luas. Pergolakan ini bukan sekadar episod konflik biasa, tetapi mencerminkan perubahan yang lebih mendalam dalam struktur politik antarabangsa.
Sejak tahun 1945, Amerika Syarikat (AS) muncul sebagai kuasa dominan yang membentuk susunan keselamatan, ekonomi dan diplomasi global melalui kekuatan ketenteraan, jaringan pakatan strategik serta pengaruh dalam institusi ekonomi antarabangsa. Era ini sering dirujuk oleh sarjana hubungan antarabangsa sebagai Pax Americana, satu tempoh di mana kestabilan dunia banyak bergantung kepada kepimpinan Washington.
Namun perkembangan geopolitik mutakhir menimbulkan persoalan yang semakin sukar dielakkan. Adakah Pax Americana masih menjadi asas kepada kestabilan dunia atau kita sebenarnya sedang menyaksikan retaknya dominasi yang pernah membentuk politik global selama lebih tujuh dekad?
Dari dunia unipolar ke dunia multipolar
Selepas Perang Dingin berakhir pada tahun 1991, dunia memasuki satu tempoh yang sering digambarkan oleh sarjana sebagai unipolar moment. Dalam tempoh ini, AS muncul sebagai satu-satunya kuasa besar yang hampir tidak mempunyai pesaing strategik.
Pada dekad 1990-an, Washington menyumbang hampir satu pertiga daripada keseluruhan perbelanjaan ketenteraan dunia. Dalam masa yang sama, negara tersebut memainkan peranan dominan dalam institusi ekonomi global seperti Tabung Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Dunia. Institusi ini bukan sahaja membentuk sistem kewangan antarabangsa, tetapi juga menentukan arah perdagangan global.
Namun keadaan tersebut tidak kekal lama. Dalam dua dekad kebelakangan ini, struktur kuasa dunia mula berubah secara perlahan tetapi signifikan. China muncul sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar dunia dan semakin memperkukuh kekuatan ketenteraannya. Rusia pula kembali memainkan peranan geopolitik yang lebih tegas, khususnya melalui
konflik di Ukraine.
Perang Ukraine memperlihatkan bagaimana persaingan kuasa besar kembali menjadi ciri utama politik antarabangsa. Walaupun AS dan sekutunya memberikan sokongan besar kepada Kyiv, konflik tersebut juga menunjukkan bahawa pengaruh Barat tidak lagi mampu menentukan sepenuhnya keseimbangan geopolitik di Eurasia. Dalam masa yang sama, kemunculan blok ekonomi seperti BRICS turut memberi cabaran kepada dominasi Barat dalam sistem ekonomi global. Negara seperti China, Rusia,
India dan Brazil semakin aktif mempromosikan alternatif kepada sistem kewangan antarabangsa yang selama ini bergantung kepada dolar AS. Perkembangan ini memberikan petunjuk bahawa dunia sedang bergerak ke arah sistem multipolar. Dalam sistem seperti ini, kuasa global tidak lagi dimonopoli oleh satu negara sahaja.
Timur Tengah sebagai medan ujian
Perubahan struktur kuasa global ini menjadi lebih jelas apabila dilihat dalam konteks Timur Tengah. Di rantau ini, Iran muncul sebagai salah satu aktor paling konsisten mencabar hegemoni AS dan sekutunya. Sejak Revolusi Islam pada tahun 1979, Tehran membina strategi geopolitik yang kompleks bagi mengimbangi tekanan daripada Washington dan Tel
Aviv.
Sarjana hubungan antarabangsa seperti Vali Nasr menjelaskan Iran mengamalkan strategi keselamatan yang dikenali sebagai forward defence. Melalui pendekatan ini, garis pertahanan negara dipindahkan ke luar sempadannya.
Iran membina rangkaian sekutu politik dan kumpulan bersenjata di Iraq, Syria, Lebanon dan Yaman. Rangkaian ini sering dirujuk sebagai Axis of Resistance yang berfungsi sebagai mekanisme strategik bagi mengimbangi pengaruh AS dan Israel di rantau tersebut.
Namun perkembangan mutakhir menunjukkan perubahan penting dalam pendekatan Tehran. Serangan peluru berpandu dan dron terhadap sasaran Israel dalam beberapa episod ketegangan terkini memperlihatkan Iran semakin berani menunjukkan kemampuan ketenteraannya secara terbuka.
Dalam analisisnya mengenai geopolitik Timur Tengah, sarjana Harvard Stephen Walt menegaskan bahawa dominasi ketenteraan semata-mata tidak menjamin kawalan geopolitik yang mutlak. Negara serantau mampu menggunakan strategi asimetri serta jaringan sekutu untuk mengimbangi kuasa besar. Fenomena ini menunjukkan Pax Americana tidak lagi berfungsi sebagai struktur kuasa yang tidak boleh dicabar seperti yang berlaku selepas Perang Dingin.
Krisis legitimasi kepimpinan global
Cabaran terhadap Pax Americana bukan hanya berkaitan perubahan keseimbangan kuasa. Cabaran yang lebih mendalam sebenarnya berkaitan dengan krisis legitimasi moral dalam kepimpinan global AS. Sarjana hubungan antarabangsa seperti Robert Keohane dan Joseph Nye menegaskan bahawa kepimpinan global tidak hanya bergantung kepada kekuatan ketenteraan dan
ekonomi. Ia juga memerlukan legitimasi politik serta kepercayaan daripada masyarakat antarabangsa.
Selepas Perang Dunia Kedua, AS berjaya membina legitimasi ini melalui gagasan demokrasi liberal, kerjasama antarabangsa dan perdagangan bebas. Penubuhan sistem Bretton Woods serta pelbagai institusi global memberikan gambaran kepimpinan Washington membawa manfaat kepada kestabilan dunia.
Namun dalam beberapa dekad kebelakangan ini, persepsi tersebut semakin terhakis. Peperangan di Iraq pada tahun 2003, konflik Afghanistan yang berpanjangan serta campur tangan ketenteraan di beberapa wilayah lain telah menimbulkan kritikan besar terhadap dasar luar Washington.
Sokongan konsisten AS terhadap Israel dalam konflik Palestin turut menjejaskan imej kepimpinan moral negara tersebut. Konflik Gaza yang berlarutan sejak tahun 2023 memperkuat persepsi bahawa prinsip undang-undang antarabangsa sering digunakan secara selektif mengikut kepentingan geopolitik Barat.
Apabila Washington dilihat memberikan sokongan politik dan ketenteraan kepada Israel, banyak negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin melihat keadaan ini sebagai bukti sistem antarabangsa tidak berfungsi secara adil. Persepsi ini membuka ruang kepada negara seperti Iran, China dan Rusia untuk membina naratif geopolitik yang mencabar dominasi Barat.
Dunia memasuki fasa geopolitik baharu
Perdebatan mengenai masa depan Pax Americana sebenarnya mencerminkan perubahan besar dalam struktur politik dunia. AS masih kekal sebagai kuasa besar dengan kelebihan teknologi, ekonomi dan ketenteraan yang sukar ditandingi oleh negara lain. Namun kelebihan tersebut tidak lagi secara automatik menjamin keupayaan untuk menentukan arah geopolitik global seperti yang berlaku selepas Perang Dingin. Ketegangan antara Iran, Israel dan AS memperlihatkan konfigurasi kuasa dunia sedang berubah.
Tindak balas Iran terhadap tekanan strategik dari Washington dan Tel Aviv menunjukkan keyakinan sebuah kuasa serantau yang semakin berani mencabar dominasi lama. Sejarah politik dunia memperlihatkan setiap era hegemoni akhirnya akan berhadapan dengan perubahan struktur kuasa. Pax Britannica yang menguasai abad ke-19 akhirnya digantikan oleh Pax Americana selepas Perang Dunia Kedua.
Hari ini dunia tampaknya sedang memasuki satu fasa peralihan yang baharu. Dominasi tunggal semakin sukar dipertahankan. Kuasa besar baharu muncul, manakala aktor serantau semakin berani memainkan peranan dalam menentukan arah geopolitik.
Mungkin persoalan sebenar hari ini bukan lagi sama ada Pax Americana masih wujud, tetapi sama ada dunia sudah mula melangkah keluar daripada bayangan dominasi yang pernah membentuk sejarah geopolitik selama lebih tujuh dekad.
Penulis ialah Pensyarah Jabatan Sejarah, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah merangkap Felo Bersekutu Royal Historical Society, United Kingdom.
















