MELAKA – Kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri kurang tiga hari lagi bertukar pilu buat kira-kira 50 buah keluarga di sekitar Bukit Rambai apabila segala persiapan Syawal rosak akibat ribut dan angin kencang, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, antara kediaman terjejas ialah di Kampung Gedong Lalang, Seberang Gajah, Taman Bukit Rambai serta Rumah Awam Fatimah.
Kebanyakan kediaman mengalami kerosakan teruk pada bumbung termasuk akibat dihempap pokok tumbang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, musibah alam itu memberi kesan besar kepada penduduk, lebih-lebih lagi ketika mereka sedang membuat persiapan akhir menjelang Aidilfitri.
“Saya bersimpati dengan keluarga yang terjejas, lebih-lebih lagi kejadian ini berlaku hanya beberapa hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Setakat ini, kita telah mengenal pasti rumah penduduk yang terjejas untuk disalurkan bantuan segera dan syukur tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan mangsa malam tadi.
Menurut beliau, pelbagai agensi telah digerakkan ke lokasi bagi membantu mangsa termasuk menjalankan kerja pembersihan dan pemulihan awal.
“Antara agensi terlibat ialah Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) serta Pejabat Daerah Melaka Tengah,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Gedong Lalang, Ruzaimah Leman, 55, berkata detik cemas itu berlaku dalam sekelip mata ketika dia sedang menyiapkan kuih raya.
“Ketika itu saya sedang membakar biskut raya, tiba-tiba angin bertiup kuat dan barang dalam rumah mula berterbangan.
“Saya hanya sempat capai dan peluk dua cucu untuk selamatkan mereka Walaupun sedih, nyawa mereka lebih penting,” katanya menyeka air mata ketika ditemui pemberita hari ini.
Menurutnya, ribut berkenaan menyebabkan bumbung rumahnya tercabut, bekalan elektrik terputus serta air hujan masuk hingga merosakkan ruang tamu dan bilik.
“Ini kali pertama berlaku sejak saya tinggal di sini dan memang sedih kerana hampir semua persiapan raya yang dibuat sejak awal Ramadan rosak,” katanya yang menganggap kejadian itu sebagai ujian menjelang Aidilfitri.

Seorang lagi mangsa, Mohd Asri Mahmood, 29, berkata dia tergamam apabila mendengar bunyi angin kuat seakan-akan puting beliung sebelum bumbung rumahnya diterbangkan angin.
“Namun, mujurlah saya dan ibu yang berada di rumah ketika itu tidak mengalami sebarang kecederaaan,” katanya.
Tambahnya, ibunya bersama adik terpaksa menumpang sementara di rumah ahli keluarga lain sementara kerja membaiki kediaman mereka dijalankan. – MalaysiaGazette
















