Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan usaha perdamaian yang digerakkan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) mewakili badan Islam dan Hindu sebagai bukti kematangan rakyat Malaysia dalam mendepani isu sensitif secara berhemah.

Perdana Menteri itu menerusi satu kenyataan media hari ini berkata pendekatan damai yang dipilih mencerminkan sikap menolak perpecahan dan mengangkat nilai saling menghormati dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama.

“Saya menyambut baik ikhtiar perdamaian oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang mewakili badan Islam dan Hindu yang menjadi suatu cerminan tahap kematangan rakyat dalam memilih jalan damai, menolak perpecahan dan mengangkat semangat saling menghormati,” katanya.

Menurut Anwar, inisiatif berkenaan menggambarkan ruh sebenar Malaysia yang dibina atas nilai ihsan dan kebersamaan sejak sekian lama.

“Kebersamaan ini mesti terus kita pelihara dan rangkul sebagai asas kekuatan negara,” jelas beliau.

Anwar turut menegaskan bahawa perpaduan nasional bukan sekadar slogan, sebaliknya perlu diperkukuh melalui tindakan bersama semua pihak tanpa mengira latar belakang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi keselamatan yang memainkan peranan penting dalam memastikan proses perdamaian berlangsung dengan lancar dan terkawal.

“Salut saya kepada semua pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjayakan usaha ini. Semoga ikhtiar ini terus menyatukan kita dan menjadi teladan dalam memperkukuh perpaduan nasional,” katanya lagi.

Awal hari ini, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, menegaskan rundingan damai antara NGO Islam dan Hindu semalam menekankan bahawa rumah ibadat yang tidak mengikut undang-undang tidak boleh dikompromi.

Persefahaman dicapai kedua-dua pihak semalam menetapkan bahawa semua rumah anutan agama wajib mematuhi undang-undang sedia ada tanpa pengecualian. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast