Presiden Mahima, Datuk N Sivakumar

KUALA LUMPUR — Penubuhan jawatankuasa khas di bawah Jabatan Perdana Menteri serta pelaksanaan audit tanah dicadangkan sebagai langkah konkrit bagi meredakan isu sensitif antara kaum, susulan pertemuan melibatkan wakil komuniti baru-baru ini.

Pengerusi Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima), Datuk Sivakumar Nadarajah berkata, pendekatan berstruktur itu penting bagi memastikan penyelesaian lebih tersusun, telus dan adil dapat dicapai.

“Kita mencadangkan satu jawatankuasa khas di bawah Jabatan Perdana Menteri serta audit tanah supaya semua isu dapat ditangani secara menyeluruh dan tidak menimbulkan salah faham antara komuniti,” katanya kepada MalaysiaGazette.

ARTIKEL BERKAITAN:

NGO Melayu, India bertemu cari titik perdamaian, selesai kemelut secara baik 

Adakah kami kompromi, tunduk kepada tuntutan? Tidak – Zainul

Menurut beliau, langkah tersebut mampu menjadi platform terbaik untuk menangani isu berbangkit termasuk berkaitan pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan secara lebih harmoni.

“Matlamat kita bukan untuk menuding jari, tetapi mencari penyelesaian yang boleh diterima semua pihak dengan semangat saling menghormati,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sivakumar menegaskan, semua pihak perlu mengambil peluang rundingan yang ada bagi meredakan ketegangan, bukannya terus berkonflik.

“Sehingga bila kita mahu terus bercakaran dan bergaduh? Apabila ada ruang untuk duduk semeja, kita seharusnya gunakan peluang itu untuk mencari titik perdamaian dan memperkukuhkan keharmonian,” ujarnya.

Beliau berkata, Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang telah lama wujud dengan kepelbagaian kaum perlu terus mempertahankan nilai perpaduan.

Tambahnya, masih terdapat banyak isu berbangkit yang memerlukan penyelesaian secara bersama dan berhemah.

Sivakumar turut mendedahkan kedua-dua pihak bersetuju ketegangan yang tercetus sebelum ini perlu dihentikan segera.

Beliau berkata, antara cadangan utama dibangkitkan ialah penubuhan satu jawatankuasa atau jabatan khas di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras isu berkaitan selain pelaksanaan audit nasional terhadap rumah ibadat bagi mendapatkan data tepat mengenai status tanah.

Semalam, Sivakumar hadir ke pertemuan program ‘Harmoni Madani’ yang menghimpunkan wakil NGO Muslim dan Hindu dalam satu sesi rundingan tertutup di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Majlis itu dilihat sebagai usaha meredakan ketegangan susulan kenyataan dan tindakan beberapa pihak yang mencetuskan perdebatan hangat di media sosial sejak beberapa minggu lalu.

Rundingan pusingan pertama itu membabitkan kira-kira 20 wakil Melayu dan 10 wakil India yang komited mencari penyelesaian secara harmoni, selain turut dihadiri pemimpin masyarakat serta tokoh agama pelbagai kaum.

Antara yang dilihat hadir ialah Penyelaras Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah), Zamri Vinoth; aktivis Cikgu Chandra atau nama sebenar S. Chandrasegaran; pendakwah bebas Firdaus Wong serta aktivis yang juga pempengaruh, Kumaresan Jothi @ Santhanar Dronachariyar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast