BUKIT MERTAJAM – Seorang daripada dua pengasuh yang ditahan reman membabitkan kes kematian bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah taska dalam Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini, pada 9 Mac lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
MalaysiaGazette difahamkan wanita berusia 22 tahun itu berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Manakala rakan sekerjanya yang sebelum ini ditahan bersama dibebaskan dengan jaminan serta dijadikan saksi pendakwaan.
Media semalam melaporkan, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan punca kematian bayi lelaki, Hayl Haarith Mohd Syafaeez adalah akibat lemas.
Ini berdasarkan pemeriksaan awal doktor setelah proses bedah siasat dijalankan terhadap mangsa di hospital berkenaan, baru-baru ini.
Pada 9 Mac lalu, Hayl Haarith ditemui tidak sedarkan diri di sebuah taska dalam kawasan HSJ sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital sama jam 4.20 pagi.
Susulan kejadian itu, dua pekerja taska ditahan bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















