SHAH ALAM – Menjelang Hari Raya Aidilfitri, ratusan penerima daripada pelbagai lapisan masyarakat disantuni menerusi program kebajikan anjuran AK Group of Companies di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang.
Inisiatif sepanjang Ramadan itu memberi tumpuan kepada sumbangan makanan asas seperti beras, minyak masak, gula dan barangan keperluan harian, selain bantuan wang tunai serta tajaan majlis berbuka puasa bagi meringankan beban persiapan Aidilfitri.
Antara lokasi yang terlibat termasuk kawasan komuniti setempat serta pusat dialisis, selain program santunan bersama anak-anak yatim dan warga emas.

Pengasas dan pemilik AK Group of Companies, Datuk AK Thevaraja berkata, usaha tersebut merupakan acara tahunan yang konsisten dilaksanakan sejak lebih 10 tahun lalu.
“Setiap kali Ramadan, kami akan turun padang di pelbagai lokasi untuk menyampaikan bantuan, bukan sahaja kepada satu kelompok tertentu tetapi kepada sesiapa sahaja yang memerlukan.
“Selain bantuan makanan asas dan wang tunai, kami juga menganjurkan majlis berbuka puasa supaya lebih ramai dapat berkongsi rezeki dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Menurut beliau, pihaknya turut mengunjungi pusat dialisis bagi menyampaikan sumbangan barangan ruji yang boleh digunakan sepanjang sebulan, selain memastikan golongan rentan seperti warga emas dan anak-anak yatim tidak terpinggir.
Thevaraja berkata, nilai kebajikan yang diamalkannya hari ini adalah hasil didikan keluarga sejak kecil yang menekankan kepentingan membantu tanpa mengira latar belakang.

“Saya diajar sejak kecil oleh mendiang ayah untuk membantu sesiapa sahaja tanpa melihat kaum atau agama. Itu yang saya pegang hingga hari ini.
“Bagi saya, kebajikan ini bukan sekadar program tahunan, tetapi satu tanggungjawab yang perlu diteruskan,” katanya.
Beliau menambah, ribuan individu telah disantuni sepanjang lebih sedekad pelaksanaan program berkenaan, kebanyakannya tanpa hebahan kerana keutamaan diberikan kepada keikhlasan membantu.

Dalam suasana kos sara hidup yang semakin mencabar, usaha berterusan seperti ini dilihat memberi kelegaan kepada ramai pihak, sekali gus membantu mereka membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih tenang dan bermakna. – MalaysiaGazette















