ROMPIN – Menjelang Syawal tahun ini, penduduk sekitar Muadzam Shah di sini beruntung pulang ke kampung halaman kerana beberapa lokasi di situ yang dahulu gelap kini sudah terang benderang.
Mana tidaknya kini sebanyak 22 lampu solar telah dipasang Kampung Gadak serta Jambatan Gadak dan Kampung Bukit Serok serta Jambatan Bukit Serok.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, usaha meletakkan lampu solar di kawasan berkenaan bagi meningkatkan pengcahayaan terutamanya pada waktu malam.
“Sebanyak 11 lampu solar dipasang di Kampung Gadak serta Jambatan Gadak manakala 11 lagi Kampung Bukit Serok serta Jambatan Bukit Serok.
“Pemasangan lampu solar juga akan dilaksanakan di kawasan simpang L di gugusan Felda Chanis membabitkan Felda Keratong 6 dan Felda Keratong 7 juga dalam masa terdekat,” kataya kepada MalaysiaGazette.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah itu usaha kebajikan pengguna jalan raya sentiasa dilakukan bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan lebih-lebih lagi di kawasan yang gelap dan berisiko.
Pemasangan lampu solar tersebut sekali gus membantu pengguna raya yang kerap melalui perjalanan pada waktu malam terutamanya musim perayaan ini.
Razali berkata, permohonan bagi peruntukan tersebut telah dibuat sebelum ini dan bersyukur apabila berjaya direalisasikan bagi kemudahan rakyat.
“Alhamdulillah, lampu solar berjaya dipasang sebelum raya, kiranua meraikan pengguna jalan raya dan perantau yang pulang berhari raya. Selamat pulang beraya semuanya.
“Memang membantu meningkatkan kadar pengcahayaan di kawasan gelap dan berisiko, saya berharap usaha untuk memasang di kawasan lain juga dapat dibuat.
“Pemasangan lampu solar sangat bermanfaat di kawasan tersebut kerana kerap berlaku kemalangan, jadi pemilihan kawasan adalah tepat. Terima kasih JKR Pahang Bahagian Elektrik,” katanya. – MalaysiaGazette
















