Seorang janda ditangkap khalwat dengan seorang lelaki Bangladesh dalam serbuan di sebuah rumah taman perumahan, Kulai semalam.

KULAI – Seorang janda ditangkap khalwat dengan seorang lelaki Bangladesh dalam serbuan di sebuah rumah taman perumahan di sini semalam.

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam satu kenyataan memberitahu, pihak penguat kuasa melakukan serbuan pukul 2 pagi selepas menerima aduan.

“Penguat kuasa mengetuk pintu dan dibuka lima minit kemudian oleh seorang wanita. Penguat kuasa memperkenalkan diri dan masuk ke ruang tamu dan enemui seorang lelaki yang sedang di kerusi.

“Lelaki dan wanita berkenaan berpakaian lengkap. Wanita ini berumur 25 tahun, warga tempatan dan berstatus janda. Lelaki pula berumur 41 tahun, warga Bangladesh, berstatus bujang dan berniaga.

“Hasil soal siasat, pasangan ini mengaku sudah nikah tetapi hairannya, gagal menunjukkan surat nikah. Mereka kata sudah bernikah di Kulai dalam satu ‘nikah siri’ atau nikah gelap.

“Mereka tidak ada apa-apa surat atau dokumen kerana baru sahaja bernikah. Katanya, dokumen nikah itu masih dalam proses dan belum diterima. Mereka pun tak tahu surat nikah macam mana yang dia orang akan dapat,” jelas JAINJ dalam kenyataan.

JAINJ memaklumkan, pasangan terbabit mendakwa jurunikahnya adalah seorang warga asing juga dan ada bayaran tertentu yang dikenakan namun tidak menyatakan jumlah wang yang dikenakan.

“Apabila ditanya berkenaan wali, wanita itu kata walinya adalah kawan kepada lelaki iaitu seorang warga asing juga.”Memang pelik dan tak patuh syarak sebab wali yang betul bagi wanita adalah bapa, datuk, adik beradik, bapa saudara dan seterusnya. Macam mana pulak walinya kawan pada kawan,” ujar JAINJ.

Kedua-dua mereka kemudian ditahan kerana disyaki berkhalwat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast