PERMATANG PAUH – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan rakyat Malaysia perlu mengelak sebarang bentuk pergaduhan kaum bagi memastikan negara kekal aman terutama ketika berdepan tekanan ekonomi dan keselamatan global.
Beliau berkata, kestabilan negara perlu dipelihara kerana sebarang konflik dalaman boleh memberi kesan besar kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, kerajaan memandang serius sebarang insiden yang berpotensi mencetuskan ketegangan dan telah mengarahkan pihak berkuasa bertindak segera bagi mengawal keadaan.
“Kita kena tahu negara kita ini aman, sebab itu bila ada gaduh-gaduh sikit-sikit pun saya kata kena cepat (cari jalan penyelesaian).
“Kita minta kawan-kawan pegawai-pegawai PDRM dan yang lain-lain untuk bantu cepat-cepat. Kalau nak kena tangkap, jangan tolak ansur sehingga keadaan tak terkawal.
“Kalau mula bergaduh sahaja, hancur negara, ekonomi habis, orang ada kerja pun hilang kerja, yang hidup sihat pun terkorban. Jadi kita jangan tunggu sampai keadaan kita bergolak kerana kita bernasib baik masih lagi bertahan.
“Selain itu, seperti saya sebut, negara ini mempunyai hukum macam mana beza pendapat pun, kena ikut undang-undang. Kalau semua faham macam itu, negara ini selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Santai Akhir Ramadan Bersama Pimpinan Komuniti Permatang Pauh di Dewan Orang Ramai Permatang Pasir di sini hari ini.
Belaiu turut mengingatkan yang Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama perlu terus mengamalkan sikap toleransi serta saling menghormati antara satu sama lain.
“Mana-mana negara di dunia yang ada pelbagai kaum, pelbagai agama, dia boleh aman, tenang macam ini. Panas sikit, tak puas hati sikit, merajuk sikit, itu biasalah, tak apa boleh tahan lagi. Jangan gaduh.
“Tanya orang Cina, ada dia tak puas hati? Tanya orang Melayu, ada tak puas hati? Tanya orang India, tak ada tak puas hati. Saya pergi Sabah Sarawak, ada tak puas hati? Itu biasa, runding dengan baik. Selesai dengan baik.
“Janganlah sampai negara ini jadi kacau gila dan sebab itu kena kerjasama,” katanya. – MalaysiaGazette
















