KUALA LUMPUR – Kemalangan jalan raya yang menyebabkan seorang pengguna digilis lori di Lebuh Raya Pan Borneo di Papar, Sabah tiada kaitan dengan Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, dakwaan itu bukan sahaja tidak berasas bahkan memperlihatkan pendekatan yang dangkal dalam memahami isu sebenar.
“Kedua-dua perkara tersebut langsung tidak mempunyai kaitan. Sambutan Hari Kelahiran Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah merupakan acara rasmi negeri yang menjadi tradisi sejak sekian lama.
“Ia sebagai tanda penghormatan kepada institusi negeri serta lambang perpaduan rakyat Sabah dan bukan acara politik malah ia tidak melibatkan peruntukan pembangunan infrastruktur seperti projek jalan raya,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) memuat naik hantaran di Facebook rasminya dengan cuba menimbulkan persepsi dengan mengatakan peruntukan majlis itu lebih baik disalurkan kepada kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur Sabah yang sudah usang.
Zulkarnain juga berkata, dakwaan gerakan mahasiswa itu dilihat seolah-olah cuba menyerang Istana Negeri Sabah sekali gus boleh menjejaskan keharmonian dan menimbulkan kegusaran awam dalam kalangan rakyat.
“Lebih mengecewakan apabila naratif sedemikian disebarkan oleh pihak yang menggelarkan diri mereka sebagai Suara Mahasiswa UMS.
“Golongan mahasiswa sepatutnya tampil sebagai kelompok intelektual yang membawa hujah berfakta, matang serta bertanggungjawab dalam membincangkan isu pembangunan negeri.
“Sebaliknya, kenyataan yang dikeluarkan memperlihatkan pemikiran yang dangkal serta kecenderungan membina naratif yang tidak berasaskan fakta,” katanya.
Menurut Zulkarnain, institusi TYT bukan pentas politik sebaliknya ia merupakan simbol perpaduan, kestabilan serta maruah Sabah yang seharusnya dihormati oleh semua pihak tanpa mengira perbezaan pandangan.
“Rakyat Sabah hari ini cukup matang untuk menilai antara kritikan yang membina dan naratif yang sengaja diwujudkan untuk mengelirukan masyarakat.
“Setidaknya, tiada lagi kerisauan pengguna jalan raya lebih-lebih lagi menjelang perjalanan panjang pulang ke kampung sempena hari raya nanti,” katanya.
Zulkarnain juga menegaskan, kelewatan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah sebenarnya berpunca daripada beberapa faktor yang telah pun dijelaskan secara rasmi di peringkat Parlimen dan Kerajaan Persekutuan.
“Antara faktor utama yang dikenal pasti ialah perubahan dasar pelaksanaan projek selepas pembatalan model Project Delivery Partner (PDP) pada 2018, ketika Datuk Seri Shafie Apdal menjadi Ketua Menteri Sabah.
“Keputusan tersebut memberi kesan kepada struktur pelaksanaan projek sehingga menyebabkan perjalanan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah tergendala dan tidak selaras dengan kemajuan projek di Sarawak,” katanya.
Selain itu, katanya, isu prestasi kontraktor turut menjadi antara faktor kelewatan projek.
“Kerajaan Persekutuan sendiri telah mengesahkan dua kontraktor projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dikenakan penalti sebanyak RM31.8 juta kerana gagal menyiapkan kerja mengikut jadual yang ditetapkan.
“Tindakan penalti ini jelas menunjukkan kelewatan projek juga berkait dengan pelaksanaan projek di peringkat kontraktor, selain cabaran lain seperti isu pengambilan tanah, pengalihan utiliti serta cabaran teknikal di tapak pembinaan,” katanya.
Katanya lagi, kesemua faktor berkenaan membuktikan isu kelewatan Pan Borneo merupakan isu pelaksanaan projek yang kompleks.
“Ia tidak boleh disederhanakan dengan naratif tidak berasas yang cuba mengaitkannya dengan perkara lain yang langsung tidak berkaitan. – MalaysiaGazette
















