KUALA LUMPUR – Dua lelaki maut manakala empat lagi cedera parah dalam kemalangan yang berlaku di Presint 1 menghala ke Taman Wetland, Presint 12, kira-kira jam 11.30 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa yang mengesahkan kemalangan itu berkata, siasatan awal mendapati kenderaan yang pandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an itu dipercayai hilang kawalan ketika berada di lorong kanan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar sebatang pokok.
Katanya, akibat kemalangan tersebut, dua penumpang lelaki tempatan berusia lingkungan lewat belasan hingga awal 20-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Putrajaya untuk tindakan bedah siasat.
Sementara itu, pemandu serta beberapa penumpang lain yang juga lelaki tempatan mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Putrajaya dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan lanjut masih diteruskan, termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan.
Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Putrajaya di talian 03 – 88862138 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















