Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican bercakap ketika sesi sidang Townhall Rakyat Mencari Kebenaran, Perundangan dan Hak Asasi Manusia di KL Gateway Mall, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 24 MEI 2025.

 

KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli yang mendedahkan kononnya Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memiliki saham bernilai RM14 juta merentasi sembilan syarikat dilihat hanya mahu membawa agensi penguatkuasaan itu ke dalam skandal awam tanpa perlu bertanggungjawab.

Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican berkata, sehingga kini Ahli Parlimen Pandan itu masih belum tampil membuat aduan dengan memberikan butiran dakwaannya yang disiarkan di media sosial, baru-baru ini.

“Adakah semua pihak yang terlibat membangkitkan isu ini, sebenarnya hanya mahu membawa agensi penguatkuasaan ini ke dalam satu skandal awam tanpa perlu bertanggungjawab.

“Malah mereka tidak tergalang dalam apa-apa cara pun untuk terus bercakap tentang isu ini dan meracuni pemikiran rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Pada 13 Mac lalu, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi mendakwa menerima maklumat daripada sumber di Putrajaya kononnya Azam memiliki saham merentasi sembilan syarikat dengan jumlah gabungan RM14 juta.

Hasnal yang juga pengamal undang-undang berkata, keengganan Rafizi melaporkan perkara itu hanya menyerlahkan niat sebenar bekas Timbalan Presiden PKR itu tidak mahu terikat dengan peruntukan di dalam Akta SPRM 2009.

“Akta SPRM boleh menghalang mereka daripada terus membuat kenyataan-kenyataan umum dan mereka tidak mahu melihat isu ini disiasat secara formal.

“Jadi mereka boleh terus menikmati imuniti sedia ada untuk terus bercakap dalam forum awam tanpa terikat dengan satu sekatan di bawah Akta SPRM,” katanya.

Jelas Hasnal, keengganan Rafizi itu bagi mengelakkan dirinya dikenakan Perintah Larangan Bersuara atau Gag Order yang menyekat ketua kumpulan Hiruk itu daripada membincangkan kes itu secara terbuka.

“Persoalan timbul di fikiran saya. Adakah laporan tidak dibuat bagi isu ini bagi membolehkan semua pihak terus membuat kenyataan-kenyataan umum dan tidak terikat dengan peruntukan?

“Bila kita buat laporan, kita ada Gag Order yang menghalang kita daripada terus bercakap tentang perkara ini untuk tidak mengganggu siasatan dan integriti siasatan yang berlaku,” katanya.

Selain itu, Hasnal beranggapan Rafizi tidak mempunyai bukti yang nyata dalam dakwaan terbarunya itu, selain beliau tidak mahu mempertaruhkan kredibilitinya dengan membuat satu aduan.

“Perkara ini memang dirancang untuk berlegar dalam perbincangan umum tanpa siapa-siapa mengambil pertanggungjawaban untuk membuat satu aduan.

“Saya fikir tanggapan ini perlu difikirkan oleh rakyat sebelum ia termakan dengan cerita-cerita yang sedang berlegar,” katanya.

Menurut Hasnal, sekiranya Rafizi mempunyai bukti untuk mempertahankan dakwaannya itu, beliau perlu membenarkan perkara itu disiasat dan dibicarakan dalam perbicaraan mengikut proses perundangan.

“Saya pun nak tengok juga kalau benar benda (bukti) ini ada. Biarlah siasatan berlangsung dan pendakwaan dibuat. Saya rasa tidak wajar untuk terus bercakap tentang isu ini, sedangkan tiada sesiapa tampil membuat satu aduan awam.

“Bawa bukti, pergi buat aduan. Kalau benar ada, kalau tak ada, saya rasa rakyat janganlah termakan dengan cerita ini,” katanya.

Katanya lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri enggan melayani pendedahan Rafizi itu, apatah lagi sehingga kini Rafizi masih tiada keberanian untuk membuat aduan awam.

“Saya tengok bila Perdana Menteri tak berapa nak melayani isu ini bila ditanya oleh media, kalau saya berfikiran begini, mungkin Perdana Menteri pun berfikiran yang sama.

“Kenapa kalau tak ada orang datang nak merungut, tak ada orang datang nak mempertaruhkan kredibiliti dia buat aduan, kenapa kita nak merungut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast