KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terus mencipta sensasi apabila konsert rayanya yang diberi nama Pentas Eksklusif Aidilfitri: Beraya dengan Saya Datuk Seri Siti Nurhaliza mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan peminat.
Tiket konsert pada 10 April depan itu yang mula dijual pada 12 tengah hari semalam dilaporkan habis dalam tempoh hanya beberapa jam selepas dibuka.
Ia membuktikan populariti Siti Nurhaliza masih utuh kerana mampu menjual tiket konsert dalam tempoh singkat.
Senario itu membuat peminatnya berbelah perasaan kerana ada yang berjaya mendapatkan tiket namun tidak kurang juga yang kecewa.
Malah ramai dalam kalangan mereka berharap agar pihak penganjur dapat menambah hari persembahan bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat hadir menyaksikan konsert berkenaan.
Bagaimanapun, sehingga kini masih tiada sebarang pengumuman rasmi mengenai penampahan hari daripada pihak Siti Nurhaliza.
Untuk rekod, Pentas Eksklusif Aidilfitri: Beraya dengan Saya Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 10 April depan.
Menurut penyanyi nombor satu negara itu, idea menganjurkan persembahan berkenaan tercetus pada minggu kedua Ramadan. – MalaysiaGazette
















